Rabu, 15 Ogos 2012

260 pesakit di hospital terima hamper wakil rakyat

M Zin,
 
TANAH MERAH: Menjelang lebaran tidak lama lagi, 260 pesakit di Hospital Tanah Merah dapat menyembuyikan rasa sedih dan sayu seketika kerana dikunjungi wakil-wakil rakyat semalam.

Lawatan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Gual Ipoh, Wan Yusuf Wan Mustafa dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak dapat melegakan perasaan mereka.

Rombongan wakil rakyat juga disertai Muslimat PAS Tanah Merah, pemuda dan penghulu-penghulu. Kehadiran  mereka diiringi pegawai hospital terbabit.

Setiap pesakit menerima hamper sebagai buah tangan, pengubat duka ketika menjalani rawatan di hospital.

Pada kunjungan itu Abdul Fattah juga menyumbangkan kerusi roda kepada seorang warga emas, Zaharah Abdul Rashid, 75, yang terlantar sakit. Beliau berasal dari Kampung Pondok Lama Tanah Merah.

Mereka juga mengunjungi wad kanak-kanak sambil menghulur buah tangan di samping bermesra dengan pesakit dan keluarga mereka.

“Acara ini merupakan aktiviti rutin bagi setiap wakil rakyat di Kelantan. Melalui kunjungan ini diharap dapat melahirkan perasaan gembira pesakit ketika mereka sedang terlantar sakit.

“Malah Islam amat menuntut umatnya menziarahi orang sakit dan mendoakan kesejahteraan buat mereka,” katanya ketika ditemui selepas itu.

Hari ini Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco melawat pesakit di Hospital Raja Peremuan Zainab II.

Tiada ulasan: