Sabtu, 18 Ogos 2012

12 tahanan ISA dibebaskan hari ini

SINAR HARIAN
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
 
SUNGAI BULOH - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pembebasan 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak, hari ini.

Beliau berkata 12 tahanan itu merupakan kumpulan kedua dibebaskan pada bulan ini selepas kumpulan pertama seramai tiga orang tahanan dibebaskan pada 3 Ogos lepas.

Pembebasan 12 individu itu dibuat selepas kerajaan berpuas hati dan yakin kesemua mereka bukan lagi ancaman kepada keselamatan negara, katanya selepas meluangkan masa lebih satu jam melawat banduan di Penjara Sungai  Buloh serta menunaikan solat Jumaat bersama mereka, di sini.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan telah membebaskan tiga individu iaitu seorang warga tempatan dan dua warga asing, masing-masing wargan egara Pakistan dan Sri Lanka.

Hishammuddin berkata 12 individu yang dibebaskan hari ini terdiri daripada lapan orang yang terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan manusia manakala empat lagi terlibat dengan kegiatan berunsur keganasan.
  
"Mereka terdiri daripada tujuh warga tempatan, tiga warga Indonesia dan dua wargan Pakistan. Tahanan itu dibebaskan kerana kerajaan berpendapat mereka telah melalui proses pemulihan yang secukupnya dan telah sedar dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.    

Katanya mereka yang dibebaskan itu pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, memiliki cop palsu bagi kebenaran keluar dan masuk negara milik Jabatan Imigresen, memproses dokumen palsu bagi pasport Malaysia dan negara lain, selain bersubahat menjadikan Malaysia pangkalan bagi penyeludupan manusia.

Daripada aspek aktiviti keganasan, Hishammuddin berkata kesemua mereka yang dibebaskan pernah dikaitkan dengan kumpulan sulit Darul Islam, selain terbabit dalam Tahzim Al-Qaeda bahagian Asia Tenggara Jemaah Islamiah.  

"Keputusan ini dibuat bukan atas desakan politik, sebaliknya melalui pertimbangan dan kajian daripada sudut keselamatan.

"Ini menunjukkan kerajaan tidak mengikut polemik dan pertimbangan politik serta tuntutan yang kadang-kala beremosi, sesuatu yang kita lakukan selalunya akan mengimbangi antara kepentingan nasional dan keselamatan negara termasuk hak asasi setiap individu," katanya.

Berhubung baki 11 warga tempatan dan 19 warga asing yang masih dalam tahanan, Hishammuddin berkata kerajaan perlu melakukan kajian terperinci sebelum boleh memutuskan untuk diberi pembebasan.

Beliau berkata beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman berhubung nasib baki tahanan warga asing telah pun ditandatangani sebelum kata putus mengenai kedudukan mereka ditentukan kerajaan.     

Pembebasan 12 individu hari ini dan tiga pada awal Ramadan menjadikan jumlah keseluruhan tahanan yang dibebaskan sejak penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 pada 31 Julai lepas adalah  25 orang. - Bernama

Tiada ulasan: