Rabu, 25 Januari 2012

Wartawan akhbar Cina disamun lelaki bersenjata

MALAYSIA KINI

Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina kerugian kira-kira RM48,000, apabila disamun lelaki bersenjatakan sebilah pisau yang melarikan kereta Perodua Myvinya dan barangan lain, di Kuantan semalam.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, wartawan akhbar China Press, Chow Siew Chin, 26, juga mengalami cedera ringan selepas ditumbuk oleh penyamun terbabit.

Mengulas kejadian kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya hari ini, Chow berkata insiden berlaku di hadapan pejabatnya di Jalan Dato' Lim Hoe Lek ketika beliau mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu bertugas.

"Sampai di kereta, seperti biasa saya membuka pintu dan tiba-tiba seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an memakai topi melompat masuk di tempat duduk penumpang hadapan," katanya.

Lelaki itu yang mengacukan pisau ke lehernya kemudian menyuruh beliau menghidupkan enjin kereta dan memandu meninggalkan kawasan tersebut.

"Saya yang panik terus menjerit sekuat hati sambil menekan hon kereta. Suspek tiba-tiba berang lalu menumbuk muka dan kepala saya beberapa kali," katanya.

Bagaimanapun kata Chow, beliau berjaya membuka pintu kereta dan melarikan diri.

"Penyamun itu kemudian melarikan kereta saya," katanya yang turut kerugian wang tunai RM1,000, sebuah telefon bimbit, sebuah kamera serta pelbagai dokumen peribadi dan kunci rumah.

Rakan sekerja Chow yang mendengar jeritannya bergegas turun dari pejabat dan menyelamatkannya sebelum menghantar beliau membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di klinik.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan menerima laporan terbabit dan sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Bernama

Tiada ulasan: