Dengan Tahun Baru Cina akan menjelang dua hari lagi dan pilihan raya umum ke-13 pula semakin hampir, MCA telah memuatkan video di YouTube yang dilihat sebagai satu percubaan untuk 'membunuh dua ekor burung dengan satu batu" - mengucapkan selamat tahun baru dan pada masa yang sama, membidas musuh politiknya, DAP.
Satu video selama satu setengah minit yang dimuat-naik oleh ibupejabat MCA tiga hari lalu, secara tersirat dilihat seolah membayangkan bahawa DAP hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu menunaikan janji-janjinya.
Video itu bermula dengan memaparkan sebuah keluarga yang bertutur
berbahasa Cina, sedang sibuk membersihkan rumah mereka sebagai persediaan menyambut Tahun Baru
Cina Isnin ini.
Ia memaparkan dua orang lelaki yang nampaknya seperti adik-beradik. Lelaki yang muda memakai baju merah putih, manakala yang seorang lagi memakai baju putih berkolar biru.
Kebetulan, baju putih berkolar biru adalah baju seragam parti MCA untuk lelaki, manakala merah dan putih adalah warna DAP.
Dalam video itu, adiknya kelihatan banyak bercakap dan banyak memberi arahan, manakala abangnya sibuk membersihkan rumah.
Tidak sabar dengan sikap adiknya itu, lelaki berbaju kolar biru itu
kedengaran berbisik: "Hah, hanya pandai bercakap, tetapi tak pernah bertindak. Akhirnya, saya yang terpaksa buat kerja awak."
Seorang wanita - mungkin ibu mereka - muncul menghantar sebuah baldi berisi air dan sehelai kain mencuci kepada lelaki muda itu, seolah-olah mengatakan yang dia juga perlu membantu mencuci rumah tersebut.
Sejurus selepas ibu berlalu, lelaki muda itu beredar meninggalkan abangnya seorang sahaja melakukan kerja tersebut.
"Tak mengapalah, jika kamu tidak mahu buat kerja, biarlah saya yang buat," keluh abang itu sambil engambil baldi dan meneruskan kerja membersihkan habuk plak anugerah dan sijil pujian yang tergantung di dinding.
Plak tersebut memaparkan beberapa slogan MCA seperti 'MCA kerja untuk Pendidikan' dan 'Skim Pinjaman Pendidikan 1MCA'
Video itu berakhir dengan keluarga tersebut menikmati makan malam bresama, serta ucap selamat dari MCA.
Ketika dihubungi pada hari Khamis,timbalan ketua biro publisiti MCA, Loh Seng Kok bagaimanapun enggan mengulas mengenai video tersebut.
Manakala penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Teo Nie
Ching (kiri) sekeras-kerasnya menolak tuduhan tersirat dalam video itu.
Sebaliknya, Teo yang ahli parlimen Serdang berkata, video itu sebenarnya memaparkan bahawa pemimpin MCA yang banyak bercakap, tetapi tidak boleh melaksanakan.
Teo mengambil contoh Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siong yang didakwanya sebagai pemimpin yang gagal.
"Baguslah MCA memberi peringatan seumpama itu sewaktu musim perayaan ini. Malah, MCA mempunyai terlalu ramai pemimpin yang hanya tahu bercakap."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan