Sabtu, 28 Januari 2012

Video baru 'Datuk T': Saya tak tahu, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak tahu menahu mengenai satu video baru yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya dalam sidang media lewat malam ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC, Najib juga berkata perkara itu sepatutnya ditanya kepada Datuk T yang membuat dakwaan itu.

"Saya tak tahu, kena tanya dialah, jangan tanya saya," katanya.

Ditanya sekiranya beliau telah menonton video tersebut, Najib juga berkata beliau tidak tahu.

"Saya tak tahu. Saya tak ada makluman... Pasal video (pula) tengah-tengah malam ini," katanya lagi yang ketawa besar.

Semalam, 'Trio Datuk T' yang menayangkan video seks yang mereka dakwa pelakunya adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Anwar membuktikan yang mereka salah atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat".

Dalam laporan muka depan akhbar harian berbahasa Melayu - Utusan Malaysia - salah seorang anggota Trio 'Datuk T, yang juga bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim (kanan), berkata video baru itu dirakamkan pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.

Shuib berkata beliau sendiri telah menonton rakaman video ini selepas diberikan oleh seorang lagi anggota trio Datuk T, Datuk Shazryl Ekay Abdullah.

Shuib menambah Anwar perlu segera menyaman Trio Datuk T, termasuk bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, jika mana-mana penganalisis forensik antarabangsa boleh membuktikan bahawa pelaku dalam video seks pertama yang didedahkan Mac lalu, adalah bukan Anwar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Najib berkata Umno akan menimbang kemungkinan menggerakkan Jawatankuasa Disiplin parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan bagi memantau dan mengambil tindakan lebih awal terhadap mana-mana ahli yang didapati melakukan perbuatan khianat atau curang terhadap parti.

Beliau yang juga presidennya Umno berkata ini merupakan kali pertama Umno melaksanakan langkah tersebut kerana sebelum ini Jawatankuasa Disiplin hanya digerakkan selepas pilihan raya berakhir .

"Ada cadangan jawatankuasa ini digerakkan lebih awal agar ia boleh memerhati dan mengambil tindakan awal jika ada jentera parti yang melanggar peraturan dan etika.

"Dalam setiap pilihan raya memang ada masalah terutamanya dalam parti besar...ini bukan perkara baru. Mesti ada kelakuan yang bertentangan. Mungkin ada yang tak dapat jadi calon tidak puas hati, malah tindakan penyokongnya juga boleh merosakkan parti.

"Jadi eloklah kita ambil tindakan awal pastikan disiplin parti terpelihara,"
katanya .

Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Disiplin merupakan satu mekanisme yang sedia wujud dalam parti dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku dalam parti.

"Kita tak nak berlakunya sesuatu selepas pilihan raya kerana kesan sudah berlaku...jadi lebih baik kita bersikap proaktif. Ini mekanisme yang ada pada kita. Kalau ada apa-apa, jawatakuasa yang akan ambil tindakan. Apa-apa tindakan akan ada proses yang adil. Apa-apa aduan akan bawa kepada jawatankuasa," katanya.

Mengenai persiapan parti menghadapi PRU ke-13, Najib berkata jentera parti berada dalam keadaan bersedia namun mengingatkan langkah-langkah berterusan harus ditingkatkan untuk memastikan segala tugas dan arahan yang diberikan dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Najib berkata mesyuarat itu turut membincangkan
mengenai keberkesanan perjalanan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di mana ahli parti bersetuju proses penentuan perlu dilakukan untuk memastikan semua yang layak mendapat faedah dan tidak ada yang tertinggal daripada menerima bantuan tersebut.

Menerusi program BR1M, yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas, bantuan kewangan RM500 akan diberikan kepada isi rumah erpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk mengkaji semula perlaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi memastikan pelaksanaannya memberi kepuasan penuh kepada semua pegawai dan kakitangan awam.

Tiada ulasan: