Selasa, 3 Januari 2012

Tricubes dapat kontrak RM6 juta urus komputer polis


MALAYSIA KINI

Anak syarikat Tricubes Bhd - syarikat yang terbabit dengan projek e-mel 1Malaysia - dengan pemegangan 70 peratus, TricubesNCR JV Sdn Bhd menerima surat anugerah daripada Kementerian Dalam Negeri untuk menyenggara perkakasan dan perisian serta server sistem pengurusan mudah alih canggih (EMMS) pasukan polis.

Menurut Bernama, Tricubes dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata kontrak tersebut bernilai RM6 juta.

Ia termasuk menyenggara Peranti Penerimaan Kad Mudah alih (MCAD) pasukan berkenaan, kedua-dua bagi tempoh dua tahun mulai 1 Jan, 2012 hingga 31 Dis, 2013.

Menurut syarikat, kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan dari tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Tricubes pernah dilantik oleh kerajaan persekutuan untuk mengendalikan projek yang dikenali sebagai projek e-mel 1Malaysia.

Bagaimanapun, selepas dibidas hebat oleh para pengkritik, projek itu ditukar nama kepada perkhidmatan MyEmail.

Idea di sebalik projek berkenaan adalah untuk membekalkan kepada semua rakyat Malaysia dengan akaun e-mel yang selamat untuk urusan surat-menyurat dan urus niaga kewangan dengan agensi-agensi kerajaan.

Hujah kerajaan adalah kaedah ini akan menjimatkan dana awam kerana setiap urusan surat-menyurat boleh dikenakan bayaran sehingga RM1.

Projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 19 April lalu itu sepatutnya bernilai RM50 juta tetapi perdana menteri kemudiannya menjelaskan bahawa inisiatif itu semata-mata dibiayai pihak swasta.

Tiada ulasan: