Sabtu, 28 Januari 2012

Syarikat NFC 'sangat terjejas' bila aset dibeku, kata pegawainya

Pengarah komunikasi syarikat National Feedlot Corporation, Khaidir Jamal berkata operasi syarikat tersebut "amat terjejas" apabila kontroversi berhubung projek National Feedlot Centre timbul.

Katanya, pengarah eksekutif syarikat itu, Wan Shahinur Izmir Salleh terpaksa banyak menghabiskan masa apabila disiasat polis dan juga oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lebih mendatangkan masalah ialah apabila kerajaan bertindak membekukan aset syarikat NFC yang diusahakan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Operasi masih berjalan, jadi apabila pembekal minta bayaran tunai, macam mana nak bayar. Jadi memang terjejas sangat," katanya ketika sesi taklimat bersama kumpulan NGO Melayu di Kampung Baru, hari ini.

Beliau juga sangat berterima kasih kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang atas satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Katanya, kenyataan itu telah menjelaskan kekeliruan bahawa syarikat NFC merupakan syarikat persendirian dan merupakan entiti berbeza daripada projek NFC.

"Tapi yang payahnya nak jawab (dakwaan yang timbul) dalam blog ini.

"Jadi kita kena jumpa semua pemimpin masyarakat untuk beri penjelasan," katanya lagi.

Beliau juga menegaskan, projek NFC itu merupakan satu usaha untuk mewujudkan rangkaian perniagaan orang Melayu.

Katanya perkara itu dapat dilihat dalam perusahaan restoran Meatworks yang juga diusahakan keluarga Shahrizat.

Dalam pada itu, satu badan NGO yang hadir di majlis taklimat hari ini turut bercadang untuk mengadakan program penerangan bagi menjelaskan isu berkenaan.

Naib pengerusi Gerakan Memartabat Pejuang Negara, Mohd Arafat Muhammad berkata, badan berkenaan antara lainnya akan menimbulkan dakwaan kewujudan pihak ketiga untuk menggagalkan projek NFC.

Pihak ketiga itu didakwa sebagai "kartel daging di Malaysia" - kumpulan yang didakwa sering menaikkan harga daging setiap kali musim perayaan.

"NFC akan pecahkan monopoli sesetengah pihak dalam peniagaan daging," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini selepas taklimat itu.

Tiada ulasan: