Khamis, 5 Januari 2012

Shahrizat Terus Nafi Letak Jawatan

Oleh Naeem Raffi


KUALA LUMPUR : Status Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terus menjadi isu hangat dikalangan rakyat pada masa ini.

Ketua Wanita Umno itu sebelum ini didesak oleh kawan dan lawan dalam politik agar melepaskan jawatan bagi memberi ruang selesa kepada Umno-Barisan Nasional menghadapi pilihanraya.

Hari ini Shahrizat sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, pemimpin sayap wanita Umno itu menyerahkan segala keputusan berhubung status jawatannya didalam kabinet kepada Perdana Menteri.

"Semuanya terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukannya kerana jawatan Kabinet adalah kuasa di atas bahu Perdana Menteri Malaysia.

"Itu tidak benar. Saya tidak pernah beri surat peletakan jawatan. Banyak khabar angin kerana sebenarnya itu yang pembangkang hendak tengok berlaku,"tambahnya.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, semalam.

Sehingga kini Najib masih belum memberi maklumbalas berkenaan status Shahrizat yang bertaraf senator itu. Hanya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesahkan belum menerima surat perletakkan jawatan beliau.

Shahrizat sebelum ini dikaitkan penyelewengan dana awam membabitkan wang rakyat yang diamanahkan oleh kerajaan Pusat kepada Pusat Fidlot kebangsaan (NFC).

PKR sebelum ini mendedahkan, sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam 'kucar-kacir' seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

PKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

Kronologi pendedahan ini mendapat liputan hangat media dan reaksi daripada ramai pemimpin termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahadhir Mohamad mengesa Shahrizat melepaskan jawatannya sebagai tanda bertanggungjawab.


Tiada ulasan: