Selasa, 3 Januari 2012

Sepetang bersama Khalid Ibrahim

Roketkini.com


Tan Sri Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor yang merupakan seorang bekas tokoh korporat. Sebagai ahli politik, beliau juga adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Adun Ijok di Selangor. Beliau telah meluangkan masa bersama wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir dan Mazir Ibrahim untuk berkongsi pandangan tentang kejayaan kerajaan negeri Rakyat Pakatan Selangor serta isu-isu politik semasa.

Boleh ceritakan sedikit latar belakang Tan Sri dalam politik?

Saya datang dari latar belakang yang mana saya mengurus dan memimpin syarikat besar. Terdapat lebih dari 20,000 orang pekerja yang bekerja di bawah saya. Saya datang dari syarikat korporat yang mengawal dan mengurus dengan jayanya hal-ehwal kewangan.

Apa yang saya boleh katakan ialah, saya tidak ada apa yang digelar sebagai waktu munasabah dalam menyesuaikan diri dalam arena politik. Saya sertai PKR pada 2006, saya aktif dalam politik selama dua tahun sehingga dilantik menjadi Menteri Besar. Jadi, pasukan kerja terbentuk secara bersama. Ia bukan seperti apabila anda berada dalam sebuah pasukan yang sedia ada dan kemudian bergerak menjadi sebuah organisasi. Itulah gambarannya.

Bagaimana dengan cabaran sebagai Menteri Besar ?

Apabila menjadi Menteri Besar, saya rasa seperti semua orang bercakap, “Kau dalam neraka sebab semua orang akan pastikan dan berharap kau akan gagal.” Saya hargai jika diletakkan begitu (neraka), tetapi saya juga tidak mahu mewujudkan sebuah neraka lain.


Malah, (bekas Timbalan Presiden PKR Senator) Dr Syed Husin Ali pernah berkata, “Saya ingatkan kamu Khalid, ramai kawan-kawan yang tidak sukakan anda, ia seakan melawan roh parti. Yang terbaik kita boleh buat ialah ‘potong tangan mereka’.” Tetapi berapa banyak (tangan) perlu saya potong dan berapa banyak pula tangan yang tidak patut saya potong? (ketawa)

Jadi akhirnya datang kepada kesimpulan bahawa, saya cuma ada dua pilihan sama ada mencari orang untuk saya cantas atau meneruskan program-program yang saya mahu lakukan untuk rakyat Selangor. Yang mana satu lebih yang penting? Jawapan saya ialah program-program untuk rakyat.

Jadi apa pula strategi saya? Bagaimana saya menggunakan sumber-sumber negeri untuk diterjemahkan kepada rakyat? Jadi, untuk menjadi pemimpin, perlu ada visi. Saya sangat tertarik dan suka untuk melakukan perkara-perkara sebegini. Saya bukan hanya bercakap, tetapi saya buat kerja.

Saya fikir, selepas tiga, empat tahun (memerintah dan mentadbir) saya tahu ramai yang berada bersama saya. Dan, sudah tentu ada juga yang tidak bersama saya, tetapi apabila lebih 70 peratus bersama saya, itu boleh diletakkan diri saya sebagai berjayalah. Malah, ketika ‘zaman kegemilangan UMNO-BN’ mereka pun tak dapat 50 peratus sokongan dari penjawat awam. Sesetengah dari mereka tidur ketika bekerja. (ketawa) Jadi itulah sebabnya saya tidak terlampau reaktif kerana saya cuma lebih reaktif kepada kejayaan program-program sahaja.

Bagaimana Tan Sri menterjemahkan usaha menjadi satu kejayaan ?

Pertama kali saya melangkah masuk pejabat, saya akan bertanya tentang ‘akaun negeri’ maksudnya balance sheet, sama ada ada keuntungan atau pun kerugian. Di sini, apa yang saya maksudkan ialah saya mencari kekuatan akaun negeri dan menyoal berapa banyak duit dan dana yang kita ada.

Dan sudah tentu, kakitangan awam negeri, yang sudah punya pengalaman, tahu ia adalah satu perkara yang mudah, jadi jawapan mereka ialah, “Ya, kita ada lebih RM400 juta duit dalam tangan.” Tetapi mereka tidak sedar saya melihat bukan dari jumlah wang tersebut tetapi pulangan duit itu. Jadi saya tanya pula apakah kadar yang kita dapat untuk bulan itu? Soalan itu meletakkan mereka dalam keadaan tidak selesa dan ganjil kerana mereka tidak fikir itu adalah perkara penting.

Jadi saya lihat sendiri akaun dan pulangan wang itu dan mengarahkan mereka untuk mengirim ucapan salam saya kepada pegawai bank yang mengambil wang kita. “Apa ini? Ada yang tak kena dengan MB ni, utus salam kepada orang lain (pegawai bank),” mereka tertanya-tanya. Bagaimana pun, mereka mengambil saranan saya dan setelah berjumpa dengan pegawai bank itu, selang dua hari kemudian, pegawai awam ini berjumpa saya dan berkata, “Ya, mereka sambut salam MB, dan mereka juga menaikkan kadar kepada dua peratus.”

Jadi ini apa maksudnya? Ini bermaksud dengan kadar dua peratus setahun dari RM400 juta, kami telah meningkatkan pulangan faedah sebanyak RM8 juta. Secara langsung ia bermaksud, cabaran kepada saya adalah memastikan bahawa saya dapat mengenal pasti sumber-sumber negeri dan terjemahkan untuk memberi keuntungan kepada rakyat Selangor. Dari itu, saya atur satu perancangan menjadi objektif kerajaan negeri kepada apa yang dipanggil Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Apa pandangan Tan Sri tentang prestasi Exco dan Adun Pakatan Rakyat?

Pandangan terhadap mereka sudah tentu perlu diakui bahawa sebahagian daripada mereka adalah baru dalam hal-hal sebegini. Kita perlu bersama-sama dengan mereka. Tetapi secara keseluruhan, yang bernasib baiknya ialah, mereka telah ada pengalaman mengendalikan program. MES (program Merakyatkan Ekonomi Selangor) berjaya apabila mereka meluangkan sepenuh masa dan jiwa kepada rakyat. Itulah yang telah dan perlu diterapkan lagi dalam diri.

Yang keduanya, saya rasa sesetengahnya mempunyai bakat terutamanya dalam berorganisasi, menyelesaikan masalah rakyat, menghargai birokrasi. Maka, ini menunjukkan mereka juga bagus dan pandai berbanding UMNO-BN.

Bagaimana pula peranan dan kerjasama penjawat awam negeri ?

Tidak, soalan yang sepatutnya ialah bagaimana penjawat awam respon kepada usaha saya. Soalan ini penting kerana ia bukan seperti bermain bola dengan membawa pengadil sendiri, bawa doktor sendiri dan sebagainya, bukan seperti itu. Perkara ini ialah, anda datang keseorangan sementara semua orang sudah berada di tempat masing-masing.

Bagaimana saya menyesuaikan diri? Saya rasa, saya lebih bertuah berbanding rakan-rakan politik yang lain kerana pernah bekerja bersama penjawat awam, saya faham tentang sesuatu kebiasaan, saya tahu bagaimana mereka menyesuaikan diri. Mereka perlu diberi jaminan berbanding diberi cabaran. Jika anda mencabar mereka, mereka akan menjadi lebih reaktif berbanding untuk menyokong anda.

Bagaimana dengan prestasi ekonomi negeri?

Saya fikir kita telah berjaya mengubah minda rakyat bahawa mereka kini sedar sumber ekonomi negeri Selangor adalah untuk mereka. Kemudian kita terjemahkan sumber-sumber itu kepada program yang dipanggil Hasil Negeri Untuk Rakyat. Saya fikir lebih 20 atau 40 tahun yang lalu, anda tidak mendengar jenis kenyataan sebegitu, walau pun terdapat kenyataan seperti 1Malaysia dan lain-lain. Tetapi ia tidak pernah benar-benar diterjemahkan menjadi sesuatu yang real. Tetapi kini kerajaan Selangor tidak seperti itu.

Maka dengan penilaian dan kapasiti saya, saya berjaya tingkatkan hasil negeri dan saya terjemahkannya dalam bentuk dividen buat rakyat. Saya rasa kami telah melakukan jauh lebih baik daripada kerajaan sebelumnya kerana mereka tidak melihat dari sudut itu, mereka hanya melihat “Ya, kita bagi ikut permintaan,” tetapi tidak melihat kepada kesan mikro dan mengapa mereka melakukannya.

Bagaimana dengan ekonomi Selangor dan ekonomi Malaysia dari kaca mata Tan Sri?

Sudah tentu ekonomi Selangor sangat berhubung kait dengan ekonomi Malaysia. Malah, ekonomi Selangor merupakan gambaran kepada ekonomi Malaysia kerana Selangor menyumbangkan tidak kurang daripada 25 peratus dari ekonomi Malaysia. Pertumbuhan ekonomi Selangor memberi sumbangan yang sangat besar kepada ekonomi Malaysia. Malaysia ini menjalankan dasar ekonomi terbuka maka, Selangor juga menjalankan dasar yang sama.

Maknanya kebanyakan urus niaga yang kita lakukan ini ada hubungkaitnya dengan negara luar. Lebih 70 peratus daripada apa yang kita hasilkan ke luar (eksport) yang bermakna domestik kita tidak bergantung sepenuhnya kepada ekonomi dalam negeri, tetapi ekonomi dunia. Berdasarkan pergolakan ekonomi dunia seperti di Eropah yang masih berjuang menyelesaikan masalah mereka, Amerika Syarikat pula punya masalah sendiri.


Gambaran cerah yang dapat dilihat adalah dari rantau Asia seperti China, India dan sebagainya. Tetapi kita boleh lagi berkata yang kita berada di dalam rantau yang betul dan masih selamat, Asean dan Asia. Walau pun begitu, kita tidaklah benar-benar dalam kedudukan yang sangat selesa.

Oleh itu, bolehlah saya katakan perkara yang baik berlaku sekarang dalam susunan untuk ekonomi bertahan dalam tempoh sangat tidak selesa. Maka itu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kita telah meningkatkan aktiviti-aktiviti domestik yang pastinya selaras seperti apa yang kita perlukan, memajukan (boosting) Lembah Klang.

Kita telah pun berada di situ. Itulah sebabnya BN tidak tidur lena. Ekonomi Selangor akan melonjak dengan pelbagai program dan urus niaga yang akan dilakukan. Negeri-negeri di bawah UMNO akan berhadapan masalah, tetapi Selangor tidak akan berada dalam keadaan yang tidak selesa seperti itu.

Program pencegahan rasuah (dalam Geran Selangorku ada program pembasmian rasuah dan penyelewengan ), setakat ini bagaimana responnya?

(Ketawa) Everybody is scared now! Sekarang saya cuba untuk melaksanakan satu persatu dahulu. Sekarang kita sudah ada dana untuk diterjemahkan seperti contohnya Transparency International. Mereka akan menilai cara untuk melakukan tender dan boleh mengenal pasti sama ada berlaku rasuah atau tidak. Mereka juga memerlukan penyelidikan tertentu. Saya akan menggunakan wang itu untuk diberikan kepada mereka.

Terdapat sebuah lagi yang mahu sertai tetapi itu saya perlu baca dan mengkaji dahulu. Tetapi yang lain-lain pula, cuma bermain sembunyi-sembunyi sebab saya rasa ia adalah kerana budaya Malaysia sendiri, akan ada yang berkata, “Si polan itu rasuah, si polan ini pun rasuah.”

Tetapi apabila ditanya kembali kenapa berkata begitu, mereka akan cakap, “Tak tahu tetapi saya tahu si polan itu rasuah.” Jadi, kami mahu mengubah budaya sebegini. Dalam masa sama, whistle blower (pendedah penyelwengan) juga penting, tetapi anda perlu ingat bahawa mereka juga ada liabiliti. You blow the whistle you may loose the job. (Anda dedahkan sesuatu anda mungkin hilang kerja). Oleh kerana itu kita perlukan insurans, dan itulah sebabnya saya masukkan sekali (insurans).

Bagaimana hubungan dengan Istana Selangor?

Berhubung isu dengan Sultan, anda perlu patuh, isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti patuh kepada raja-raja dan kedudukan istimewa Melayu. Ia telah termaktub di situ melainkan jika kita mahu mempersoalkannya, tetapi kita tidak boleh mempersoalkan Perlembagaan. Ya, terdapat orang-orang di dalam istana yang mahu kita menguatkuasakannya, tetapi secara keseluruhan ia kembali kepada tahap asal yang telah ditubuhkan (berdasarkan Perlembagaan).

Isu gereja Damansara, kita boleh dikatakan ia berjaya diselesaikan secara profesional. Tidak ada lagi spekulasi. Jika anda fikir kejadian itu memang berlaku, laporkan. Anda tidak boleh cuma membayangkan dan kemudian mengatakan, “Ya kejadian itu memang berlaku.”

Di akhir kelak, salah satu kriteria yang paling penting untuk kejayaan Pakatan ialah dapat bekerja semula sebagai satu pasukan yang kukuh. Inilah isu yang lebih penting. Saya yakin yang kita memang boleh sebab kita berjuang kerana tujuan yang lebih besar. Dan ia sentiasa merangsang minda dan keazaman kita.

Bagaimana dengan peluang Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 ?

Saya perlu sebut di sini setelah tiga tahun, kita boleh melihat masyarakat telah merasakan bahawa mereka berada dalam situasi yang lebih baik sekarang. Betapa selesanya berbanding 2008, saya sendiri sedikit terkejut. Rakyat sudah mengenali kita dengan lebih dekat. Sebelum ini mereka kenal kita dengan meneka, tetapi sekarang mereka kenal kita kerana mereka betul-betul kenal kita. Kita adalah sebahagian dari mereka.

Malah, ketika saya masuk ke kawasan Melayu seperti Sabak Bernam, Sungai Besar dan lain-lain itu. Masyarakat di sana baik-baik saja. Mereka banyak bercerita tentang ‘kejahatan’ kami yang ditulis melalui Utusan. Tetapi saya fikir secara keseluruhannya, kami telah mendekati rapat masyarakat dan kami sekurang-kurangnya tidaklah seburuk 2008.

Kami lakukan pelbagai program untuk rakyat, yang diamanahkan oleh rakyat untuk menguruskan negeri Selangor selama lima tahun. Untuk itu kami telah membuat dan sentiasa merangka plan. Kalau tahun ini ada pilihan raya dalam dua atau tiga bulan pertama, bagaimana saya sempat terjemahkan belanjawan itu kepada rakyat Selangor?

Sebab itu saya katakan dahulu, kalau Kerajaan Persekutuan hendak mengadakan pilihan raya selepas bulan Jun 2012, baru kita akan mempertimbangkannya. Tetapi jika mereka hendak adakan pada Januari, Februari, Mac, kita tidak akan pertimbangkan.

Apa risiko perbezaan pembubaran DUN dan Parlimen?

Hujah saya ialah, saya mahu membuktikan kepada rakyat tanpa mengira apa yang Kerajaan Persekutuan buat. Saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat sebaik mungkin yang setakat yang saya fikir saya mampu lakukan.

Gambarkan begini, (pilihan raya) cuma ada dua kesan iaitu sama ada kita kalah atau menang. Jika kita menang, jelas bahawa usaha kita mendapat sambutan rakyat. Jika kita kalah, kita masih ada peluang lagi pada pilihan raya seteusnya (PRU14). Kita perlu lawan kembali sehingga menang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: