Ahad, 8 Januari 2012

Selangor akan bincang pengganti Hasan Ali Rabu depan


SHAH ALAM — Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat akan bermesyarat Rabu depan untuk membincangkan kedudukan exconya, Datuk Hasan Ali, yang dipecat secara mengejut oleh PAS hari ini.

Faekah Hussin, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Selangor, mengesahkan kenyataan tersebut selepas dimaklumkan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Kedudukan beliau (Hasan) adalah sebagai wakil daripada PAS,” katanya kepada The Malaysian Insider, yang menyatakan bahawa negeri berkenaan akan mencari pengganti selepas pemecatan Hasan daripada PAS.

Menurutnya calon tersebut berkemungkinan akan dilantik daripada PAS, namun enggan membincangkannya dengan lebih lanjut kerana menurut Faekah, dia masih menunggu notis rasmi daripada pemimpin PAS.

“Semua exco adalah wakil daripada parti, Datuk Hasan juga boleh meletak jawatan kerana dia bukan lagi wakil parti,” katanya sambil menambah “penggantinya akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Rabu ini.”

Tambahnya, kerajaan Selangor akan menghantar surat kepada Istana Selangor untuk memberitahu berkenaan perkara itu dan berbincang dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan perkembangan terbaru itu.

Lembaga Eksekutif negeri dilihat sebagai wakil Sultan dan kerajaan negeri kerana Sultan merupakan ketua tertinggi sebagai ketua agama Islam.

“Kami akan mengadakan perbincangan tersebut di istana,” kata Faekah.

Pentadbiran tertinggi PAS memecat Hasan sebagai anggota parti bermula hari ini, dengan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya memutuskan untuk berbuat demikian selepas menimbang pelbagai faktor pada mesyuarat bulanannya.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan tindakan Hasan Ali yang dilihat merosakkan parti dan menyebabkan kemusnahan kepada parti, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti,” kata Ahli Parlimen Marang ini dalam kenyataannya.

Bulan lalu, Hasan mengkritik PAS dalam isu kawalan media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 kerana meninggalkan matlamat perjuangan Islam atas faktor politik.

Hasan menuduh PAS tergelincir daripada landasan asal dan matlamat perjuangan parti dengan memperkenalkan prinsip negara berkebajikan berbanding negara Islam sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia ini menerima kecaman daripada rakan-rakan partinya apabila mengatakan penyertaan terhadap perhimpunan esok adalah perbuatan sia-sia.

Abdul Hadi telah menyatakan persetujuannya untuk menyertai perhimpunan tersebut, sebagaimana pimpinan Pakatan Rakyat lain, dan menyatakan kenyataan Hasan itu sebagai penghinaan terhadap presiden parti dengan membelakangi keputusannya.

Tiada ulasan: