Khamis, 26 Januari 2012

Ribut: 30 motosikal, 10 kereta dihempap zink


MALAYSIA KINI

Bumbung 12 unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Lembah Pantai di ibunegara diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.

Dalam kejadian itu, kira-kira 30 motosikal dan 10 kereta musnah dihempap zink.

Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu kerana tingkat atas flat berkenaan tidak berpenghuni.

Ketua Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Pantai Hamid Daud berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.05 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

"Kita dibantu lapan anggota dari Balai Bomba Damansara. Kita dapati zink tercabut semasa hujan petang tadi. Pada masa ini, kita sedang mengalihkan zink yang jatuh itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, bumbung tingkat 17 Pangsapuri Muhibbah di Taman Desa, yang terletak berhampiran PPR Seri Cempaka, turut diterbangkan angin.

Ketua Bomba Taman Desa Saparisan Ramli berkata walaupun terdapat penghuni di tingkat itu, tidak ada kecederaan dilaporkan.

Seorang penghuni PPR Seri Cempaka, Ahmad Yusof, 58, berkata kejadian bermula dengan hujan renyai, diikuti angin kencang selang lima minit.

"Pada masa itu, kanak-kanak yang sedang bermain di bawah bangunan, menjerit dan lari bertempiaran apabila zink bumbung jatuh secara tiba-tiba. Beberapa kenderaan turut musnah dan nasib baik tidak ada penduduk yang cedera," katanya kepada Bernama.

Sejumlah 26 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Sri Hartamas terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan.

Seorang lagi penghuni, Mohd Izwan Abd Rahmad, 24, berkata dia hanya menyedari bahagian depan keretanya remuk dihempap zink apabila menjenguk melalui tingkap rumahnya di tingkat 14.

"Selepas petir, saya dengar bunyi kuat. Saya jenguk ke bawah... nampak zink berterbangan dan dapati kereta saya remuk dihempap zink," katanya.


Sementara itu, Menteri Wilayah persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika melawat lokasi kejadian di PPR Sri Cempaka berkata kementerian itu, melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memperuntukkan RM500,000 sehingga RM1 juta untuk membaik pulih kerosakan di lima kawasan terjejas.

"Kawasan yang terlibat adalah Sungai Besi, Seputeh, PPR Kampung Limau, Pangsapuri Taman Desa, dan yang paling terjejas adalah di PPR Sri Cempaka.

"Di Sri Cempaka, kita kesan tiga keluarga perlu dipindahkan sementara di kawasan berhampiran kerana ada kerosakan di rumah mereka dan aspek keselamatan yang kita pentingkan," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata DBKL akan membaik pulih rumah PPR yang terjejas, termasuk kedai yang rosak akibat ribut itu.

"Penghuni rumah yang terjejas dan pemilik rumah yang terjejas boleh membuat tuntutan insurans termasuk pemilik kereta," katanya sambil menambah pengusaha loji kumbahan BEWG (M) Sdn Bhd turut menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 untuk membaik pulih rumah yang terjejas. Bernama

Tiada ulasan: