Jumaat, 20 Januari 2012

Qazaf: Peguam Anwar kemuka hujah 30 Jan

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR: Rayuan kes isu qazaf akan dihujah oleh barisan peguam yang mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan Syariah pada 30 Januari ini, jam 9 pagi.

Penghujahan lisan itu ditetapkan apabila Notis Rayuan yang dikemukakan oleh peguam Anwar dibantah oleh peguam yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dan dua lagi, Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali yang mohon agar Mahkamah Rayuan Syariah mengenepikan Notis Rayuan tersebut.

Salah seorang peguam yang mewakili Anwar, Dorina Abdullah (gambar) yang ditemui di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya telah mengemukakan notis rayuan bagi meminta Mahkamah Rayuan Syariah meneliti kembali keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini, yang mana ianya telah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

"Pihak kami telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bagi meneliti semula keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang telah menolak permohonan untuk mahkamah memerintahkan supaya Ketua Pendakwa Syarie mendakwa Saiful Bukhari berhubung dengan kes qazaf.

"Namum belum pun lagi perkara itu diputuskan pihak peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka itu telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan Syariah agar menolak Notis Rayuan hanya terdapat kesilapan teknikal dari segi perkataan iaitu peninggalan perkataan "keseluruhan" di dalam notis rayuan itu," jelasnya yang mewakili Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi.

Tambahnya lagi isu pendakwaan qazaf terhadap Saiful ini masih jauh lagi tetapi sudah ada halangan awal.

"Belum lagi di peringkat pendakwaan sudah ada halangan, kita masih di peringkat awal. Kita akan meneruskan dakwaan qazaf ini walaupun terdapat halangan," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Anwar yang sebelum ini diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Tiada ulasan: