Jumaat, 20 Januari 2012

PRU13: Gerakan S'gor perkenal 80 peratus muka baru

MALAYSIA KINI

Gerakan Selangor akan memperkenalkan 80 peratus muka baru sebagai calon parti itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata pengerusi Perhubungan Gerakan Selangor, Senator A Kohilan Pillay.

Beliau berkata mereka terdiri daripada golongan muda yang energetik dan mengikut aspirasi golongan itu serta boleh mendekatkan diri dengan rakyat.

"Kita mahukan calon yang bukan sahaja boleh turun padang tetapi boleh mendengar masalah rakyat serta dekat dengan rakyat," katanya dalam sidang media bagi Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.

Beliau berkata ketua jentera pilihan raya bagi setiap DUN telah dilantik dan mereka telah mula menggerakkan jentera dan akan turun padang untuk memantau kesemua DUN berkenaan selepas Tahun Baru Cina ini.

"Persediaan pilihan raya dalam momentum yang bagus dan saya minta agar ini diteruskan...minta semangat berpasukan dengan kerjasama komponen BN supaya bertindak lebih proaktif dalam mendengar masalah rakyat," katanya.

Kohilan Pillay berkata dengan semangat serta kerjasama berpasukan dalam BN, beliau yakin akan memenangi kerusi yang dipertandingan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita akan berusaha merampas kembali empat kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang kalah di tangan pembangkang pada pilihan raya umum lepas, iaitu DUN Teratai, Bukit Lanjan, Kota Alam Shah dan Bukit Gasing serta Parlimen Puchong," katanya.

Sementara itu, Kohilan Pillay yang juga timbalan menteri luar berkata rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina bagi DUN Teratai akan diadakan pada 29 Januari dari pukul 3 hingga 6 petang di Dataran Pandan Perdana Lake Club.

"Kami menjemput orang ramai supaya memeriahkan rumah terbuka ini dan pelbagai persembahan menarik akan dipertontonkan.

"Saya anggarkan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 tetamu akan hadir bagi memeriahkan rumah terbuka ini. Program ini lebih kepada program mengeratkan silaturahim antara rakyat dan pemimpin," katanya. Bernama

Tiada ulasan: