Ahad, 1 Januari 2012

Polis akui berlaku pergelutan ketika insiden di UPSI


KUALA LUMPUR — Polis Perak hari ini mengaku telah memukul beberapa aktivis mahasiswa dalam kejadian ketika demonstrasi awal pagi tadi dengan alasan perkara sedemikian tidak dapat dielakkan.

Anggota polis telah menyerbu lokasi demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim apabila pelajar melakukan demonstrasi aman menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Sewaktu insiden tersebut, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Perkara ini tidak dirancang, dan semasa kejadian itu keadaan mungkin berada di luar kawalan,” menurut pegawai penyiasat yang hanya mahu dikenali sebagai Fazli kepada The Malaysian Insider.

“Ini isu lama, masyarakat selalu cuba menjadikannya isu, sama seperti perhimpunan Bersih 9 Julai lalu,” katanya merujuk kepada perhimpunan Bersih yang menuntut pilihan raya yang bersih.

Awal pagi tadi, aktivis mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik mendakwa telah dipukul dan ditahan polis berikutan ingkar arahan bersurai daripada pihak berkuasa.

Lanjutan daripada insiden berkenaan, seorang pelajar terbabit Muhammad Safwan Anang, Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dilaporkan berada di wad di Hospital Slim River ekoran tidak sedarkan diri. Safwan dipercayai patah beberapa batang gigi dan patah tulang ketika insiden berkenaan.

Dikatakan 17 daripada mereka telah ditahan sekitar jam 2 pagi tadi, mahasiswa terbabit masih lagi berada dalam tahanan polis di Balai Polis Tanjung Malim.

Berita keganasan anggota polis dalam insiden awal pagi tadi itu mula mendapat liputan meluas di media sosial termasuk Twitter dan Facebook yang mengecam tindakan anggota polis menggunakan keganasan terhadap mahasiswa berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai polis berkenaan menafikan dakwaan peguam tidak dibenarkan berhubung dengan mahasiswa yang ditahan oleh anggotanya.

“Peguam tidak pernah dihalang daripada berjumpa pelajar terbabit, N. Surendran sekarang ada bersama pelajar yang ditahan,” katanya merujuk kepada peguam yang juga Naib Presiden PKR itu.

Fazli walaubagaimanapun tidak pasti tindakan selanjutnya yang akan dikenakan terhadap mahasiswa terbabit.

“Biar pihak atasan yang tentukan selepas keterangan mereka diambil.”

Tiada ulasan: