Ahad, 8 Januari 2012

Perkasa sudah jangka Hasan Ali dipecat, kata Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sudah menjangkakan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali, akan dipecat daripada PAS, demikian kenyataan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim (gambar) dalam sidang medianya di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini berkata, dia sudah menjangkakan PAS akan memecat Hasan Sebelum Perhimpunan 901 esok.

“Saya sudah menjangkakan dia (Hasan) akan dipecat sebelum perhimpunan 901. PAS menerima banyak tekanan daripada DAP dan PKR, dan tindakan pemecatan Hasan ini sudah boleh dijangka,” katanya.

Menurut Ibrahim, pendirian Hasan berkenaan perhimpunan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah berbeza dengan kepimpinan PAS yang lain.

“Hasan Ali mempunyai pendirian berbeza daripada pemimpin PAS yang lain, itu memberi tekanan kepada mereka.

“Saya mengucapkan tahniah, Hasan sudah terkeluar daripada kalangan kumpulan neraka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Perkasa sekali lagi menjemput Hasan menyertai pertubuhan tersebut, dan jawatannya boleh diputuskan dalam perbincangan selanjutnya jika dia bersetuju untuk menyertai NGO yang memperjuangkan hak Melayu ini.

Perkasa sebelum ini sudah menjemput Hasan Ali untuk menyertai pertubuhan itu kerana perjuangannya memartabatkan Islam, memperjuangkan bangsa Melayu dan kedaulatan Raja adalah selari dengan matlamat dan perjuangan Perkasa.

Pemecatan Hasan Ali adalah yang kedua selepas Datuk Zukifli Nordin yang dibuat PAS, kerana perbezaan ideologi dan matlamat perjuangan yang berbeza.

Tiada ulasan: