Khamis, 5 Januari 2012

Penyelewengan NFC: RM13 Ribu Untuk Main Golf

Oleh Lizawati Madfa


SHAH ALAM : Laporan kewangan sepanjang 2009 mendapati sebanyak RM 12,980.24 telah digunakan oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Salleh Ismail serta anaknya Wan Shahinur Izran dan Izmir untuk membayar keahlian kelab termasuk bermain Golf di beberapa kelab Golf sekitar Lembah Klang.


Berdasarkan lapuran kewangan yang didedahkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli sepanjang tahun tersebut sebanyak RM84 juta ringgit dari RM250 juta wang yang diperuntukan kerajaan telah dibelanjakan.

Perbelanjaan terbesar telah dilakukan pada 5 Mei 2009 dimana sebanyak RM 3,116.84 dikeluarkan dari akaun bagi membayar yuran keahlian di Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur.

Satu lagi pembayaran dibuat ke atas Bukit Kiara Resort Berhad pada 4 Ogos 2009 untuk membiayai yuran keahlian Izmir dan Izran, anak-anak kepada Datuk Salleh dan Datuk Shahrizat Jalil iaitu sebanyak RM 2,040.30.

Jika dilihat dalam dokumen yang didedahkan itu, selain kedua-dua kelab tersebut, kelab golf lain yang sering dikunjungi oleh ketiga beranak ini ialah Tropicana Golf and Country Club, Berjaya Golf Resort Berhad, Kuala Lumpur Golf and Country Club serta The Royal Selangor Golf Club.

Petang semalam Rafizi telah membuat laporan polis berhubung penyelewengan wang rakyat yang dilakukan NFC kepada bahagian siasatan jenayah komersial, Bukit Perdana.

Dalam laporan tersebut Rafizi turut menyerahkan dokumen transaksi NFC sepanjang 2009 kepada pihak polis untuk membolehkan siasatan serius dilakukan.

Menurut Rafizi, Dokumen dalam bentuk senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki oleh NFC diperoleh secara sulit dari seorang yang tidak dikenali.

Tiada ulasan: