Selasa, 24 Januari 2012

Palanivel dilantik peneraju pembangunan kaum India

NAJIB mengadakan sesi soal jawab bersama murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kinrara pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di sekolah itu, semalam.

NAJIB mengadakan sesi soal jawab bersama murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kinrara pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di sekolah itu, semalam.

Kerajaan komited dengan masa depan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil


Oleh Mohd Zin Ali


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G Palanivel dilantik sebagai menteri peneraju untuk memimpin usaha kerajaan bagi membangunkan taraf sosioekonomi masyarakat India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Palanivel yang juga Presiden MIC pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kinrara, di sini semalam.

Najib berkata, masyarakat India harus membina satu visi berpaksikan kepada ‘nambikei’ atau kepercayaan teguh antara satu sama lain yang berpotensi untuk membawa perubahan ketara bagi masa depan mereka.

“Kalau kita berpandukan kepada prinsip dan falsafah dalam perkataan nambikei, tidak ada apa yang tidak boleh kita capai dan tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Saya harap nambikei yang menjadi hasrat kita bekerjasama dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya terus dapat membuahkan hasil yang amat membanggakan,” katanya.

Hadir sama, Palanivel; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M Kayveas dan Pengerusi Persatuan Guru Besar SJKT Malaysia, P Doraisamy.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan komited dengan masa depan SJKT yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM340 juta bagi pembangunan fizikal dan infrastruktur sekolah Tamil di seluruh negara bagi tempoh antara 2009 hingga 2011.

Beliau berkata, dari segi peruntukan pengurusan dan pentadbiran pula, kerajaan sudah melabur kira-kira RM2 bilion untuk sekolah Tamil sejak 2009.

Perdana Menteri juga meminta semua pihak yang terbabit dalam pendidikan SJKT tampil dengan satu pelan tindakan untuk memaju dan membangunkan sekolah berkenaan pada masa depan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu persidangan khas diadakan dalam masa terdekat di kalangan pendidik SJKT, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk mengenal pasti isu berkaitan sekolah berkenaan.

Beliau berkata, antara yang patut dibincangkan adalah sama ada kelas peralihan untuk pelajar SJKT masih relevan, masalah kekurangan guru lepasan ijazah di SJKT dan reka bentuk sekolah.

“Saya percaya rumusan persidangan akan mendapat pertimbangan Kementerian Pelajaran dengan kerajaan menyokong sepenuhnya sebarang pendekatan baru yang mampu mempengaruhi masa depan ramai anak Malaysia,” katanya.

Selain itu, Najib mengumumkan mesyuarat Kabinet baru-baru ini meluluskan enam lesen pembinaan SJKT baru di Taman Keladi di Sungai Petani, Heawood Estate (Sungai Siput), Taman Sentosa (Klang), Taman PJS1 (Petaling Jaya), Bandar Mahkota (Cheras) dan Bandar Sri Alam (Masai) serta bersetuju 15 SJKT yang mempunyai kurang 10 murid dipindahkan ke kawasan yang lebih memerlukan. Beliau juga meluluskan peruntukan RM3.5 juta untuk pembinaan sebuah bangunan empat tingkat bagi SJKT Kinrara.

Tiada ulasan: