Isnin, 16 Januari 2012

NFC: Perniagaan seperti biasa walaupun aset dibeku


MALAYSIA KINI

Walaupun asetnya dibekukan, sementara menunggu siasatan polis berhubung dakwaan penyelwengan, projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berkata bahawa "perniagaan berjalan seperti biasa".

"Perniagaan syarikat berjalan seperti biasa," kata Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh dalam satu kenyataan hari ini.

"Inventori daging lembu akan terus dibekalkan dan semua pesanan pelanggan akan dipenuhi. Tidak ada gangguan dalam pembekalan."

Wan Shaninur Izmir menambah bahawa aset NFC yang dibekukan sejak Disember tahun lalu tidak akan menjejaskan inventori mahupun bekalan.

"Saya ingin memberi jaminan kepada pelanggan dan vendor serta kakitangan kami bahawa perkhidmatan akan diteruskan dan peluang pekerjaan mereka adalah terjamin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, daging lembu NFC dibekalkan kepada lebih daripada 160 pelanggan termasuk hypermarket, pasar raya, pasar mini, pasar basah, pengusaha daging proses, hotel, restoran dan kafe.

Tambahnya lagi Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan akan terus membiakkan 4,500 lembu untuk memenuhi sasaran bekalan daging dalam negara manakala rantaian Restoran Meatworks akan beroperasi seperti biasa.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan sementara menunggu siasatan daripada pelbagai pihak termasuk dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Pada tahun 2007, syarikat itu dilantik untuk menjalankan projek ternakan lembu tetapi prestasinya dibidas oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Ia kemudiannya didedahkan bahawa syarikat itu dimiliki oleh keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Wan Shahinur Izmir adalah seorang daripada anak lelaki Shahrizat.

Syarikat itu mengundang pelbagai kontroversi apabila PKR berjaya membuktikan bahawa ia telah membuat beberapa ‘pelaburan’ yang boleh dipersoalkan, termasuk menggunakan pinjaman mudah RM250 juta daripada kerajaan untuk membeli kondominium mewah, tanah di Putrajaya dan juga kereta mewah.

Khamis lalu, Shahrizat mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa beliau akan bercuti selama tiga minggu sementara menunggu siasatan dijalankan.

Tiada ulasan: