ANTARA POS.COM
KANGAR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM1.1 juta bagi meningkatkan infrastruktur pasar sehari Behor Lateh sempena lawatannya ke pasar itu pagi tadi.
Dalam ucapan ringkasnya pada akhir lawatan ke pasar sehari itu, Perdana Menteri berkata, peruntukan itu adalah bagi membina bumbung untuk kemudahan peniaga dan pengguna pasar yang lebih dikenali sebagai “nat” itu.
Pasar sehari Behor Lateh yang dikendalikan Pertubuhan Peladang Kawasan B-1 MADA Kayang mula beroperasi pada Mac 1991 di kawasan seluas 0.5 hektar dan menempatkan kira-kira 100 peniaga.
Najib berkata, kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa melihat keperluan rakyat dan akan berusaha menyediakan kemudahan yang diperlukan.
Katanya lagi, beliau yakin orang ramai sentiasa menghargai sumbangan murni kerajaan melalui pelbagai program termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).
Menurutnya sebagai contoh, orang ramai yang bersalaman dengannya semasa meninjau pasar sehari itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang dihulurkan kepada rakyat selama ini.
"Bantuan bukan hanya terhad untuk projek besar tapi turut turun bagi membela untung nasib rakyat,” katanya di hadapan peniaga dan pengunjung pasar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan