Khamis, 5 Januari 2012

MB : Tanpa Bukti Dakwaan RPK Hanya Fitnah

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyangkal dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin (RPK) berkenaan rasuah yang melibatkan usahawan Cina di Selangor sambil menyifatkannya sebagai fitnah yang tiada bukti.

Abdul Khalid berkata RPK seharusnya memberikan maklumat berhubung dakwaannya memandangkan Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Selangor.

"Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk memerangi rasuah dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah ditangkap dan diberkas.

Tujuannya adalah untuk menentukan hasrat kita tercapai dalam usaha mengurangkan gejala rasuah selain mengurangkan fitnah yang mengatakan Selangor mengamalkan rasuah tetapi tidak mempunyai bukti yang jelas," jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan RPK sebelum ini bahawa kerajaan Pakatan Rakyat gagal membawa perubahan di Selangor.

Pada Ahad lalu, RPK berkata maklum balas daripada ahli perniagaan mendakwa tahap rasuah di Selangor masih sama selain masih ada yang membayar duit ‘bawah meja'.

RPK turut menyifatkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.




Tiada ulasan: