Selasa, 3 Januari 2012

Mahasiswa mahu anggota polis diheret ke mahkamah

Oleh: Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Anggota polis yang bertindak ganas pada himpunan pro kebebasan akademik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 1 Januari lalu, perlu diheret ke mahkamah, tegas Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami).

Presidennya, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tindakan itu penting bagi memberi keadilan terutama kepada mahasiswa yang menjadi mangsa keganasan pihak berkuasa itu.

Presiden Kami, Haziq Abdullah Abdul Aziz (memakai kot) bersama peguam dari LFL, Fadiah Nadwa Fikri

“Tindakan ini penting kerana kesalahan anggota polis pada malam itu juga adalah satu jenayah dan polis tidak boleh melindungi atau mempertahan anggota seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan bagi mewakili Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Kebebasan Akademik (BEBAS) di balai polis Dang Wangi hari ini.

Haziq turut menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan tiada kejadian sama berulang selepas ini.

“Kalau tiada tindakan diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam insiden malam itu, kita bimbang mereka akan melakukan lebih ganas terhadap rakyat Malaysia lain selepas ini,” katanya yang juga mahasiswa jurusan undang-undang dari Universiti Malaya.

Beliau turut membetulkan dakwaan sesetengah pihak, bahawa polis tidak bertindak ganas terhadap Presiden Bebas, Muhammad Safwan Anang sehingga mendatangkan kecederaan.

“Kami juga ingin tegaskan bahawa Safwan cedera kerana dikasari polis, manakala pintu klinik itu hanya dipecahkan selepas pegawai klinik itu enggan membuka pintu dan merawat Safwan.

“Keengganan pihak klinik merawat Safwan yang cedera teruk ketika itu adalah satu kesalahan jenayah dan mencabuli hak asasi manusia,” katanya.


Pada 1 Januari lalu, BEBAS, SMM dan sekumpulan aktivis mahasiswa mengadakan himpunan pro-kebebasan akademik di depan UPSI.

Himpunan itu kecoh selepas polis mengganas sehingga menyaksikan kira-kira 20 aktivis mahasiswa ditahan, Manakala Safwan Anang pula terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan.

Tiada ulasan: