Ahad, 1 Januari 2012

‘Jakim tak pernah keluarkan kenyataan bantah forum IRF’, kata KP


KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini tampil menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau membantah penganjuran Forum on Future of Islamic Feminism anjuran Islamic Renaissance Front (IRF).

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha berkata pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan nama agensi itu dan memanipulasi isu demi kepentingan sendiri.

Beliau menambah Jakim tidak dimaklumkan tentang penganjuran forum yang membincang isu berkaitan hak wanita dari perspektif Islam.

Othman juga menegaskan laporan The Malaysian Insider yang disiarkan pada 19 September lalu tidak benar.

“Sehubungan itu, Jakim berasa amat kesal terhadap tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan nama Jakim dan memanipulasi isu demi kepentingan sendiri sedangkan Jakim tidak dimaklumi tentang penganjuran forum berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

The Malaysian Insider pada 19 September melaporkan penganjur forum itu mengatakan mereka berhadapan dengan siri tekanan termasuk daripada pihak berkuasa agama yang seolah-olah mahu menggagalkan dan menghalang program itu daripada diadakan.

Penganjur forum mendakwa menerima panggilan daripada Jakim, sejam sebelum program bermula untuk menyertai forum sebagai anggota panel.

Pengerusi IRF Dr Ahmad Farouk Musa berkata Jakim tidak diundang untuk menyertai forum itu.

Tiada ulasan: