Jumaat, 20 Januari 2012

Isu Exco Agama - PAS sindir 'Seleweng Wang Zakat & Jamil Khir'.

Radhi Razak

alt

KUALA LUMPUR - PAS menyelar strategi yang didakwa sedang dipergiat beberapa Pemimpin UMNO menggunakan isu pengasingan Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Selangor sebagai serangan terbaru memburuk-burukkan PAS menjelang PRU13.

Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, UMNO/BN masih berfikiran cetek apabila berpandangan Pemimpin PAS hanya layak memegang Exco berkaitan Agama semata-mata.

"Pemikiran UMNO yang masih berada dalam kotak lama, apabila menganggap exco agama mesti diberikan kepada PAS, seolah-olah orang lain tidak layak; atau PAS hanya layak pegang exco agama; sedangkan portfolio lain tak layak," jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut dengan nada menyindir mempersoalkan kelayakan seseorang Pemimpin memegang tanggungjawab pengurusan Agama lantas menyalahgunakan jawatan tersebut dengan melakukan penyelewengan Wang Zakat.

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?," katanya lagi.

Sebelum ini, Pakatan telah mendesak agar pihak SPRM menyiasat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana didakwa terlibat secara tidak langsung dalam penyalahgunaan kuasa Wang Zakat merujuk kepada Laporan Audit Negara baru-baru ini.

PAS kata beliau akan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan yakin dengan penggubalan portfolio bagi jawatan Exco sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.

"PAS yakin dengan Dr Yunus Ahmad yang baru dilantik sebagai exco dengan sokongan padu Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman memperlihatkan kepada umum betapa kepimpinan PAS bukanlah golongan yang mengejar jawatan, bahkan rela diberi kepada orang lain yang difikirkan sesuai dan layak demi memperkasakan jentera parti."

Dr. Yunus kelmarin telah dilantik secara rasmi memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi portfolio Adat Resam dan Belia Sukan.

Khalid selaku Menteri Besar Selangor telah memilih untuk memegang portfolio Hal Ehwal Agama dan menjelaskan ianya bersifat sementara sebelum akan diputuskan pada satu tempoh selepas ini bagi menyerahkan sepenuhnya kepada Dr. Yunus.

Tiada ulasan: