Isnin, 9 Januari 2012

Ibrahim Ali: Perkasa tidak akan timbulkan kekecohan



Ibrahim Ali sedang memberi ceramah dihadapan ahli Perkasa yang menyertai Solat Hajat dan Qiamullail di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta hari ini. — Foto oleh Choo Choy May


KUALA LUMPUR — Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, menjelaskan, badan bukan kerajaan (NGO) itu telah mempersiapkan 300 ahlinya untuk persediaan sekiranya pasukan keselamatan tidak mampu mengawal keadaan semasa Perhimpunan 901 esok.

Ibrahim berkata, Perkasa telah mempersiapkan ahlinya itu sejak dua hingga tiga bulan lepas.

“Kami sudah bersedia menghadapi kemungkinan untuk esok, sekiranya pasukan PDRM memerlukan bantuan, kami ada 300 ahli yang sudah bersiap sedia.

“ Perkasa mengambil pendirian tidak akan berada di mahkamah esok, hanya sekiranya PDRM memerlukan bantuan, baru kami akan datang membantu,” katanya lagi.

Namun begitu, Ahli Parlimen Pasir Mas ini mengharapkan tidak akan berlaku sebarang kekacauan dalam perhimpunan yang dirancang untuk pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

“Saya jangkakan jumlah mereka tidak akan menjangkau 100,000 orang. Esok hari bekerja, mungkin kehadiran mereka sekitar lima ke enam ribu sahaja.

“Saya sendiri ada buat pemantauan di setiap ceramah Anwar, jumlah yang di berikan adalah jauh daripada jumlah sebenar,” katanya dan menyifatkan sokongan terhadap Anwar semakin berkurang.

Menurutnya, ahli Perkasa hanya akan berada di kawasan Masjid Wilayah sahaja untuk program Solat Hajat dan Qiamullail bermula malam ini hingga petang esok.

Ibrahim juga berjanji ahlinya tidak akan menimbulkan sebarang huru hara di mahkamah.

“Kami cintakan kedamaian dan keselamatan, kami fokus kepada program kami sahaja,” tambahnya.

Tiada ulasan: