Jumaat, 20 Januari 2012

Hentikan biasiswa khianat kepada negara

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) kesal dengan ura-ura tindakan kerajaan memberhentikan biasiswa kepada pelajar sarjana dan PhD di beberapa universiti terkemuka dan dalam negara atas alasan kekurangan dana.

Ini kerana, bagi Abdul Hadi, pelajar terpilih ini merupakan aset penting negara yang perlu dibantu untuk maju dalam pelajaran mereka.

Namun, katanya, dipertengahan jalan, ianya terbantut disebabkan pemberhentian biasiswa oleh kerajaan.

Abdul Hadi berkata demikian dalam satu kenyataannya semalam.

Menurut beliau, PAS dimaklumkan bahawa pemberhentian biasiswa ini berkait rapat dengan usaha kerajaan mengecilkan dana kepada IPTA yang turut melibat sama pengecilan pengambilan kakitangan.

Ramai kakitangan diambil secara kontrak sahaja kerana IPTA kekurangan dana.
Bahkan ada yang sudah berkhidmat lebih lima tahun pun masih belum disahkan jawatan, katanya.

"Ia merupakan satu pengkhianatan dan penggadaian masa depan negara," kata beliau.

Dalam masa yang sama IPTA digalakkan berlumba 'ranking' di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh syarikat yang mempunyai kepentingan komersil tertentu.

PAS, katanya, tidak menolak usaha untuk meletakkan IPTA Malaysia di 'ranking' lebih baik di dunia, namun jika ia mengikat IPTA dengan syarat-syarat yang merugikan masa depan negara, ia perlu dihentikan.

Antaranya meluaskan pengambilan pelajar asing dan 'post-Graduate', dalam masa yang sama mengecilkan pengambilan pelajar tempatan di peringkat sarjana muda, kata beliau.

Tindakan ini, dakwa beliau, menyebabkan tempat untuk rakyat Malaysia belajar di IPTA terkemuka negara semakin mengecil dan tempat untuk warga asing pula terbuka luas semata-mata untuk penuhi syarat ditetapkan dalam perlumbaan 'ranking'.

Kesannya, dakwa Abdul Hadi, kerajaan berusaha untuk mengecilkan saiz jabatan-jabatan dan fakulti, mengecilkan pengambilan kakitangan dan pelajar di peringkat sarjana muda.

Lebih malang lagi, apabila pelajar diperingkat Master dan PhD yang sudah berada di semester kelima dan keenam dihentikan terus biasiswa yang merencatkan pembelajaran mereka.

"Oleh itu kita mendesak kerajaan, supaya mengembalikan skim biasiswa-siswazah kepada pelajar-pelajar tersebut dan menawarkan lebih banyak biasiswa di masa depan buat rakyat Malaysia," desak beliau.

Desakan ini, kata beliau, dibuat kerana di kala negara berhadapan dengan kemelut ekonomi yang meruncing ini, penjimatan sepatutnya dilakukan dalam hal lain khususnya melibatkan perbelanjaan pemimpin negara, kebocoran rasuah dan projek membazir, bukan dengan mengecilkan dana IPTA yang merupakan aset berharga negara.

Tiada ulasan: