Khairil Abdul Rahim |
KUANTAN, 7 Jan Blogger Umno yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (gambar) dipelawa dan dialu-alukan berganding dengan Pakatan Rakyat (PR) negeri ini untuk menumbangkan kerajaan BN Pahang. Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad berkata, sebagai seorang pakar ekonomi, Ariff atau nama blogernya Sakmongkol AK47, sudah tentu dapat menilai kelemahan aspek ekonomi yang dihadapi kerajaan Pahang pada masa ini. “Sebagai seorang lulusan ekonomi dan banyak menganalisis perkembangan ekonomi semasa, kita rasakan Ariff amat memahami prestasi ekonomi Pahang di bawah pimpinan Datuk Seri Adnan Yaakob yang setiap tahun menerima teguran Ketua Audit Negara. “Jadi dengan kelulusan, pengalaman dan akses yang banyak tentang ekonomi Pahang dan mahir dengan prestasi anak syarikat kerajaan negeri kita pelawa beliau berganding dengan PR demi manfaat rakyat negeri ini,” katanya. Ariff merupakan Adun sepenggal iaitu dari tahun 2004-2008 juga bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan di bawah ketua bahagiannya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Baru-baru ini, beliau bersama seorang lagi blogger Umno Aspan Alias, telah menghadiri seminar blogger-blogger PR di Pulau Pinang. Mengikut laporan media, Ariff telah menjelaskan kecenderungan beliau dan Aspan menyokong DAP kerana merasakan pegangan dan kepercayaan mereka terhadap Umno sudah tidak lagi konsisten seperti dahulu. “PAS Pahang akan mencari masa yang sesuai untuk berbincang pelbagai isu semasa dengan Datuk Ariff dalam masa terdekat ini,” tambah Suhaimi. Jelasnya lagi, sudah tentu ada yang luar biasa bagaimana seorang tokoh yang betul-betul berada di bawah Presiden Umno mahu meninggalkan parti itu. Sementara itu posting terakhir dalam blognya, Ariff menyifatkan Umno sebagai pemusnah Melayu dan parti itu sebenarnya terhutang budi kepada orang Melayu. Sebelum ini, Ariff begitu lantang mempertikaikan keputusan kerajaan mahu menyenaraikan Felda di bursa saham dan menganggap tindakan itu hanya sebagai ‘menggali kubur untuk peneroka’. |
Ahad, 8 Januari 2012
Blogger Umno dipelawa bantu PR Pahang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan