Jumaat, 27 Januari 2012

Bekas perunding NFCorp Hadapi Tuduhan Baru

ANTARA POS.COM

Post Pic



KLANG: Ahli perniagaan, Datuk Shamsulbahrin Ismail hari ini berhadapan dengan pertuduhan baru apabila didakwa melakuan penipuan wang pelaburan RM90,000 milik seorang pemandu teksi dua tahun lalu.

Biarpun masih terlantar di hospital, prosiding ke atas bapa kepada empat anak itu diteruskan dengan kehadiran majistret ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Shamsubahrin yang juga bekas perunding National Feedlot Corporation (NFCorp), 46, mengaku tidak bersalah menipu seorang pemandu teksi Limat Jonit, 57, untuk membuat pelaburan bernilai RM90,000 dalam syarikat yang diketahuinya tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa mendorong Limat untuk memasukkan sejumlah wang itu ke dalam akaun bank milik peribadinya.

Pendakwaan di depan Majistret Hurman Hussain, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elya Edzrin Mohd Roslan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hadir sama di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, peguam S Surendran dan Lateefa Koya, serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh Hurman, Shamsubahrin kelihatan tenang.

Hurman membenarkan Shamsubahri diikat jamin RM9,000 dan menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan serahan dokumen di Mahkamah Majistret.

Pada 30 Disember lalu, dia mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu Pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Shamsulbahrin didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ketika itu.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorongnya bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibu negara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong beliau menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki yang memiliki beberapa syarikat termasuk perkhidmatan limosin itu direman oleh polis dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan pada 22 Disember.

Tiada ulasan: