Ahad, 15 Januari 2012

Azmin Ali : Pakatan Rakyat Miliki Pemimpin Berintegriti

Oleh Afix Redzuan


ALOR SETAR: Pakatan Rakyat (Pakatan) perlu bersedia untuk menggalas aspirasi rakyat yang kini bangkit bagi menuntut sebuah negara yang adil dan sejahtera untuk semua.

Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dalam ucapan pembukaannya berkata, konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 ini adalah pecutan terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang memberikan fokus utama terhadap permasalahan rakyat yang selama ini terhimpit dengan kekangan kehidupan dibawah regim Barisan Nasional.

"Kita bertanggungjawab untuk bersihkan Malaysia daripada gutter politics dan amalan kronisme serta amalan membudayakan rasuah yang diterajui oleh UMNO. Pakatan Rakyat perlu memimpin rakyat maju ke hadapan dengan persaingan dasar kepedulian rakyat dan mengangkat martabat rakyat Malaysia," katanya.

Jelas beliau, Pakatan tidak lagi membicarakan persoalan untuk menafikan majoriti dua pertiga sebaliknya penonjolan pimpinan berkaliber untuk membawa negara ke satu fasa yang lebih dinamik dan ke hadapan merupakan kunci keyakinan untuk membentuk kerajaan pusat yang baru selepas PRU ke 13.

"Kita juga sudah ada kepimpinan yang dinamik, berdaya saing serta teruji kesetiaan dan kebolehannya untuk mentadbir negara. Kita mempunyai pemimpin yang amanah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan YAB Datuk Seri Azizan Razak.

"Kita mempunyai pemimpin yang berkaliber seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Malah, sudah pasti kita mempunyai Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai karisma dan pengalaman serta telah dibersihkan dari fitnah dan konspirasi jahat," katanya.

Mengulas lanjut katanya, ‘Reformasi' yang dilaungkan selama ini bukan hanya sekadar untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional semata-mata sebaliknya kata keramat tersebut merupakan agenda pembebasan rakyat selain memartabatkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pemikiran rakyat.

"Agenda reformasi akan memecahkan mitos kononnya hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah dan memberikan kesejahteraan untuk rakyat. Insha Allah, di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat nanti, kita akan kembali memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh negara serantau dan antarabangsa," katanya.

Tegas beliau, kesediaan Pakatan untuk menerajui tampuk pemerintahan negara jelas melalui dasar pengenalan Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat yang diperkenalkan sebelum ini yang akan menjadi agenda Malaysia baru milik rakyat.

Tiada ulasan: