Jumaat, 27 Januari 2012

AG akui kelemahan NFC, serah polis siasat unsur penyelewengan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengakui kelemahan Pusat Fidlot Nasional (PFN) dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ambrin berkata, tujuan pengauditan dilaksanakan adalah untuk menilai sama ada projek PFN telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur, berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan.


“Analisis audit mendapati objektif projek PFN masih belum dicapai sepenuhnya.

“Ini disebabkan berbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010.

“Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada bulan Mac 2010, sasaran pengeluaran PFN iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Entreprenuer Development Program (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi,” ujar beliau.

Bagaimanapun katanya, LKAN 2010 tidak menyebut perkataan seperti kucar-kacir ‘in a mess’ atau penyelewengan dalam laporannya seperti yang dilaporkan sesetengah media.

“Pada pendapat Jabatan Audit Negara (JAN), sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek ini.

“Jikalau tidak, mengapa pada bulan Mei 2009 (sebelum pengauditan dijalankan), kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan PFN sehingga satu kajian viability and business model (model perniagaan) dijalankan bagi projek ini?,” soal beliau.

RM134.7 juta disalur kepada NFCorp

Menurut Ambrin, perkara yang menjadi fokus utama pengauditan oleh Jabatan Audit Negara ialah PFN sejak penubuhannya pada 2006 dan bukan NFCorp sebagai sebuah syarikat.

NFCorp katanya, adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1.


Manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd.

Menurut Ambrin, projek tersebut diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara di mana Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar.

Antaranya, Peruntukan di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPIAT) berjumlah RM73.64 juta di bawah RMKe-9 bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian.

“Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh KPIAT untuk menyediakan tapak seluas 5,000 ekar bagi projek ini.

“Kawasan ini kemudiannya dikurangkan kepada 2,000 ekar sahaja,” kata beliau.

Selain itu, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada bulan September 2007.

Manakala setakat akhir tahun 2010 sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp supaya syarikat ini menyediakan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

Dalam kenyataannya, Ambrin turut mengakui pinjaman mudah (soft loan) juga telah diluluskan kepada NFCorp. yang berjumlah RM250 juta menerusi satu perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani pada Disember 2007.

“Setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan,” kata beliau.

Tiada ulasan: