Khamis, 5 Januari 2012

9 Januari: KEADILAN Perak, Perlis kerah 10,000 anggota

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : KEADILAN Perak dan Perlis akan mengerahkan 10 000 anggota untuk menyertai perhimpunan aman pada hari keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, 9 Januari ini.

Pengarah Strategi KEADILAN Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, setiap cabang KEADILAN di negeri itu akan menghantar sekurang-kurangnya 500 anggota dan penyokong bagi berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

“Kita yakin sasaran 10 ribu orang dapat dicapai walaupun tarikh tersebut adalah hari bekerja,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya yang juga ADUN Kuala Kurau, pihak polis perlu bersikap adil dan menghormati hak orang awam untuk berkumpul secara aman bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hak yang sama juga sedang dinikmati oleh pihak-pihak lain seperti Pemuda UMNO, PERKASA dan NGO-NGO yang pro kerajaan yang sejak akhir-akhir ini begitu giat mengadakan demonstrasi jalanan seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor,”

“(Justeru) walaupun polis memberi pelbagai amaran dan tekanan namun rakyat tidak gentar kerana hak berhimpun secara aman telah termaktubdi dalam perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu Pengerusi KEADILAN Perlis, Mohamad Faisol Abd Rahman pula berkata akan memastikan para penyokong mematuhi segala displin dengan tidak menimbulkan sebarang bentuk provokasi sewaktu berhimpun.

“(Namun) kita juga berharap supaya pihak keselamatan tidak bertindak sebagai penghalang laluan seperti menyekat jalan raya secara keterlaluan yang menjadi faktor gangguan lalu lintas,” kata beliau.

Katanya lagi, perhimpunan secara aman tersebut adalah untuk memberi simbolik bahawa rakyat sudah bosan dengan mainan politik Umno dalam kes Fitnah II ini.

“Tindakan ini adalah selaras dengan keputusan dan pendirian Pakatan Rakyat bahawa Anwar perlu di adili dengan sistem kehakiman yang adil, dan tidak ada sebarang unsur campur tangan ghaib yang memungkinkan kepincangan dalam keputusan tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: