Polis menahan enam orang remaja untuk membantu siasatan berhubung kejadian gangguan terhadap majlis ceramah pergerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Shah Alam, Sabtu lalu.
Mereka termasuk seorang pelajar tingkatan empat, seorang pelajar tingkatan lima dan pelajar orang yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manakala yang lainnya menganggur.
Tiga daripada mereka ditahan pada 24 Januari lalu, manakala tiga lagi ditahan awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob memberitahu satu sidang akhbar bahawa mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun.
Menurut ACP Zahedi (kiri), mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 148,
Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan berkaitan kesalahan rusuhan.
Katanya, kesemua mereka - semuanya penduduk tempatan di situ - telah dibebaskan dengan ikat jamin polis pagi ini.
"Kita tidak reman mereka, tetapi kita mengambil keterangan mereka," katanya.
Polis juga, katanya, sedang mengesan beberapa orang lagi individu untuk membantu siasatan kes tersebut.
"Masih lagi (dalam siasatan). Belum sudah lagi (siasatan). Kita mencari individu yang dikenalpasti, mengenai rakaman termasuk video yang disumbangkan oleh Encik Kumaran dalam Youtube Malaysiakini.
"Jadi kita mencari pesonaliti kedua-dua pihak," tegasnya dalam sidang yang turut dihadiri dua lagi pegawai atasan polis daerah tersebut.
Dalam kejadian pada 21 Januari lalu, ceramah ABU di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam di Jalan Kebun itu, terpaksa ditunda selepas diganggu sekumpulan lelaki yang dilapor bersenjatakan kayu dan topi keledar.
Akibat serangan tersebut, seorang lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital. Mangsa kini dilaporkan stabil dan masih trauma dengan kejadian tersebut.
Dalam sidang media itu juga, Zahedi berkata seramai 30 lelaki bermotosikal yang mengetahui ceramah tersebut melalui kain rentang yang dipasang, telah menghala ke dewan itu untuk menghalang perjumpaan atau ceramah berkenaan.
Kemudian, katanya, berlakunya perbalahan, termasuk kata-kata
kesat dan menyinggung kedua-dua pihak, sehingga berlakunya kekecohan sehingga menyebabkan ada yang mengalami kecederaan.
"Polis dimaklumkan mengenai perkara itu selepas kekecohan berlaku dan dapat mententeram (keadaan) sesudah tiba dilokasi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahedi berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan polis berhubung insiden berkenaan dan tindakan telah diambil terhadap laporan tersebut.
"Kita akan mengambil tindakan jika berlakunya kesalahan. Negara kita demokratik dan berpelembagaan, maka dalam konteks ini setiap orang sama mengikut undang-undang.
"Kita laksanakan tugas kita dengan adil dan saksama dan berpegang teguh dengan undang-undang di negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan