Rabu, 4 Januari 2012

4 ahli KPF tarik balik saman pemula halang mesyuarat agung

MALAYSIA CHRONICLE


KUANTAN- Empat ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) hari ini menarik balik saman pemula bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF diadakan esok.

Keputusan itu dibuat Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, Maran setelah mereka dimaklumkan bahawa mesyuarat itu telah dibatalkan.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam kamarnya menasihatkan keempat-empat mereka berbuat demikian selepas peguam KPF, J. Doshi menyatakan bahawa mesyuarat agung tersebut telah dibatalkan oleh KPF.

Peguam plaintif, Mohd Harris Abdullah berkata Mariana selain itu memaklumkan bahawa kuasa yang dituntut plaintif iaitu mesyuarat berkenaan juga tidak wujud.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya pihak Felda akan meneruskan Mesyuarat Agung KPF pada masa akan datang, pihaknya akan memfailkan injunksi sekali lagi untuk menghalangnya.

Pada 23 Disember lalu, empat ahli KPF berkenaan memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh bagi memohon injunksi mahkamah untuk menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF diadakan esok.- BERNAMA

Tiada ulasan: