Rabu, 12 Oktober 2011

Utusan dakwa M'kini buruk-burukkan institusi raja


MALAYSIA KINI

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini mendakwa portal berita bebas negara, Malaysiakini memburuk-burukkan institusi raja.

Di bawah tajuk utama “Persoal titah Sultan dibidas”, Utusan menyiarkan dua artikel menghentam Malaysiakini.

NONE"Malaysiakini gagal menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan media yang berhemah. Tindakan menyiarkan komen-komen terbabit ternyata mencemarkan kredibiliti Sultan Selangor sebagai ketua agama,” kata Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang dipetik akhbar itu.

Laporan itu merujuk komen-komen pembaca Malaysiakini berhubung pandangan pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengulas kenyataan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama Ogos lalu.

Dalam laporan itu, Aziz dipetik berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan bukan sesuatu tindakan yang lazim dan sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk berbuat demikian tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Laporan Utusan hari ini juga memetik Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwandin Hamzah yang didakwa menuduh Aziz sebagai tidak menghormati kuasa yang ada pada Sultan.

NONEDalam artikel berasingan, akhbar itu juga memetik Senator Ezam Mohd Noor yang mahu kerajaan melakukan siasatan menyeluruh ke atas Malaysiakini berhubung laporan itu.

“Tindak-tanduk mereka (Malaysiakini) jelas untuk menimbulkan rasa kurang senang terhadap institusi asas negara kita.

“Tindakan membenarkan pembacanya meninggalkan komen juga dilihat menambahkan lagi perbalahan berhubung isu tersebut,’’ kata Ezam dipetik Utusan.

NONEIsnin lalu, Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.

Bagaimanapun, titah baginda, tiada tindakan undang-undang akan diambil kerana ketiadaan bukti yang mencukupi.

Bagi Aziz yang telah menghasilkan tesis, buku dan artikel mengenai peranan monarki dalam Islam dan demokrasi, beliau sependapat dengan biskop Katolik Paul Tan Chee bahawa jika tiada bukti, maka kes berkenaan perlu ditutup.

Tiada ulasan: