Rabu, 12 Oktober 2011

Bantuan rakyat RM500 diagih mulai Januari 2012

MALAYSIA KINI

Kerajaan menimbang mengagihkan pemberian bantuan rakyat sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, mulai Januari 2012.

asli capital market summit 131107 awang adekTimbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin, berkata pengagihan bantuan wang tunai itu yang boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat, tanpa penetapan masa, akan dilakukan secepat mungkin mulai Januari depan.

Bantuan "one off" atau sekali sahaja itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2012 minggu lalu.

Awang Adek berkata, kerajaan mengenal pasti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai agensi utama pelaksanakan bantuan ini memandangkan agensi berkenaan mempunyai fail-fail cukai bagi pembayar cukai yang aktif mahupun tidak aktif.

"Antara agensi lain yang turut terbabit dalam pengagihan bantuan itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara serta POS Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2011, di Kuala Lumpur hari ini.

Seminar terbabit dianjurkan oleh LHDN dengan penyertaan seramai 1,120 peserta.

azlanAwang Adek berkata, LHDN difahamkan turut mengguna pakai sistem pangkalan data e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan maklumat rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, rakyat yang masih belum mendaftar dengan e-Kasih, boleh mendapatkan borang pendaftaran melalui laman sesawang LHDN.

Di samping itu, borang berkenaan akan dicetak dan diedarkan di cawangan LHDN serta kawasan lain yang bakal dikenal pasti di seluruh negeri.

"Mereka (masyarakat) akan dimaklumkan mengenai pengagihan borang dari semasa ke semasa," katanya.

NONEMengenai syarat kelayakan, beliau berkata, pengiraan pendapatan RM3,000 itu ialah seisi rumah dan bukan individu dan oleh itu mekanisme siasatan akan dilakukan.

Awang Adek pula berkata pendapatan isi rumah akan diambil kira, dengan mencampurkan pendapatan suami, isteri dan anak-anak yang tinggal bersama.

Namun, persoalan bagi anak yang tinggal berasingan, masih dibincangkan.

"Soal isi rumah…seorang, tetapi sudah bekerja dan bayar zakat sendiri, saya rasa dia layak. Namun, ini kita akan pastikan kemudian dan masukkan dalam isu-isu yang perlu diperjelaskan,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan: