Khamis, 20 Oktober 2011

Umno cemburu kejayaan skim al It’aam di Kelantan

M Faqih


KOTA BHARU: Kejayaan Kelantan mengagihkan beras secara percuma setiap bulan kepada penduduk miskin sejak Febuari lalu, rupa-rupanya mengundang rasa cemburu pemimpin Umno.

Bukan setakat cemburu sebaliknya mengugutkan pula pembekal dan pengilang yang membekalkan beras kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada penduduk miskin.

Kesan tindakan tersebut menyebabkan program pengagihan beras yang sepatutnya sudah diadakan bulan ini sedikit tergendala.

Isu tersebut hari ini dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) sehingga mendapat respon ramai anggota Dewan di kalangan penyokong kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknolologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, gangguan yang dilakukan terhadap pembekal beras menyebabkan program pengagihan bulan ini sedikit tergendala.

”Sepatutnya penyampaiaan bantuan beras itu diadakan minggu pertama setiap bulan, namun bulan ini agak lewat kerana ada tekanan diterima pembekal beras.

”Perkara itu berlaku kemungkinan selepas pihak pengilang dan pemborong beras mengakui pasaran beras tempatan melonjak tinggi selepas skim al It’aam dilancar kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2012 pada persidangan Dun hari ini.

Skim al It’aam dilancarkan pada Febuari lalu di mana pada peringkat awal seramai 4,500 penduduk miskin menerima bantuan beras 10 kg setiap bulan.

Bagaimanapun bermula Julai lalu jumlah penerima di setiap Dun ditambah kepada 80 lagi menjadikan 180 orang sekarang.

Che Abdullah berkata, pemimpin Umno mahu berpolitik terhadap bantuan kerajaan negeri kepada penduduk miskin.

Menurutnya biar pun alasan mereka kononnya beras yang dibekalkan diberi subsidi kementerian, namun beras tersebut diagih kepada penduduk miskin.

”Kita bukan bagi beras percuma kepada orang Bangladesh atau Indonesia yang bekerja di sini. Kita beri beras percuma kepada penduduk tempatan yang miskin.

”Biar pun cuba diganggu kita tetap akan teruskan program ini kerana ternyata ia dapat membantu penduduk miskin,” ujarnya.

Mohamad Mustafa (PAS-Demit) menyifatkan tindakan pemimpin Umno menekan pembekal beras kepada skim al It’aam seperti cuba meninggikan lagi tempat jatuh mereka selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Insan, Abdul Fattah Mahmood berkata, sejak skim bantuan Az Ziwaaj diwujudkan kerajaan negeri awal tahun ini seramai 2344 pasangan pengantin di kalangan penduduk miskin mendapat manfaatnya.

Katanya, bantuan tersebut boleh digunakan sebagai wang hantaran bagi meringankan bebanan keluarga miskin melangsungkan perkahwinan anak.

Ketika menggulung perbahasan bajet 2012 bagi jawatankuasanya kata beliau tahun hadapan akan dilaksanakan program ’Jurus’ membabitkan golongan belia dan beliawanis di satu tempat mengikut batasan syariat.

”Melalui program itu membolehkan mereka berkenalan dan dapat merancang perkahwinan lebih awal bagi mengelakkan gejala kurang sihat,” ujarnya.

Menurutnya juga kerajaan negeri bercadang mewujudkan Ladang Belia di dua lokasi yang sudah dikenal pasti iaitu di Hulu Sat membabitkan kawasan seluas 38 ekar dan Dabong, Kuala Krai (377 ekar).

”Ladang Belia di Hulu Sat akan ditanam tanaman segera tuai, manakala di Dabong akan dijadikan sebagai tapak ladang. Pada peringkat awal seramai 67 belia akan ditempatkan di Ladang Belia Dabong.

”Setiap belia yang dipilih dengan syarat yang ketat akan diberi lot seluas empat hingga enam ekar setiap seorang,” katanya.

Tiada ulasan: