Jumaat, 7 Oktober 2011

Tiba masanya mengharamkan asbestos di Malaysia

SM Mohamed Idris


Sejak tahun 2001, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan sepenuhnya segala bentuk asbestos. Gesaan tersebut dibuat berikutan peningkatan kes-kes penyakit yang dikaitkan dengan asbestos disebabkan penggunaan besar-besaran asbestos pada masa lalu, dan hakikat bahawa beberapa buah negara, termasuk Malaysia, masih terus menggunakan asbestos chrysotile.

Dalam perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 28 Mac lalu, satu persetujuan telah dicapai berhubung pengharaman asbestos, termasuk chrysotile. Bagaimanapun perwakilan dari APCO Worldwide membantah kemasukan chrysotile ke dalam pengharaman tersebut dengan alasan Malaysia akan mengalami kerugian ekonomi jika berbuat demikian. Mereka yang hadir dan DOSH sendiri menekankan bahawa penggunaan chrysotile sedang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat oleh industri terbabit.

APCO telah membuat bantahan supaya menghentikan pengharaman tersebut kepada DOSH dan kerajaan Malaysia. APCO juga membawa masuk Dr David Berstein, ahli toksikologi yang beribu pejabat di Switzerland yang telah menjalankan pelbagai kajian ke atas merokok dan asbestos chrysolite yang dibiayai oleh industri tembakau dan asbestos sendiri, ke Malaysia untuk meyakinkan kerajaan bahawa produk itu selamat untuk kegunaan.

Pandangan dari sudut saintifik adalah cukup jelas bahawa semua bentuk asbestos, termasuk asbestos chrysotile, boleh menyebabkan penyakit seperti mesotelioma, kanser paru-paru, kanser jenis lain dan asbestosis, dan penggunaan yang selamat adalah sesuatu yang mustahil. Tambahan pula, asbestos adalah salah satu karsinogen pekerjaan yang paling penting, membabitkan kira-kira separuh daripada bilangan kematian akibat kanser pekerjaan. Malah, ia membunuh lebih ramai pekerja di banyak negara berbanding kecederaan ketika bekerja.

Menurut WHO, di negara-negara yang telah mengharamkan asbestos sejak awal tahun 90-an sekalipun kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos terus meningkat. Ini disebabkan tempoh lama yang dikaitkan dengan penyakit tersebut. Dengan menghentikan penggunaan asbestos sekarang, kita berharap dapat melihat penurunan dalam kes-kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos cuma selepas beberapa dekad.

Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengadakan kempen secara global untuk membasmi penyakit yang dikaitkan dengan asbestos, dan ia dijalankan dengan menghentikan penggunaan semua jenis asbestos.

Lebih daripada 55 buah negara telah menyahut gesaan ini dan negara terakhir yang berbuat demikian ialah Thailand. Pihak berkuasa Thai mendapati bumbung rumah di bandar yang tidak menggunakan asbestos menambah kos pembinaan rumah sebanyak $65 atau ½ peratus kos membina rumah di Thailand. Memandangkan keadaan di Thailand dan Malaysia mempunyai beberapa persamaan, adalah selamat untuk mengatakan bahawa kerugian ekonomi yang disebutkan oleh APCO adalah tidak signifikan.

Sehubungan itu, Malaysia perlu turut menyertai kempen global ini iaitu ke arah mengharamkan penggunaan segala jenis asbestos dan tidak tunduk kepada tekanan kumpulan-kumpulan yang lebih mementingkan keuntungan daripada kesihatan orang ramai.

SM Mohamed Idris adalah Presiden CAP.

Tiada ulasan: