Rabu, 26 Oktober 2011

Rahim Noor samakan gerakan hak asasi dengan komunis, umpama ‘agama baru’

TERKINI


KUALA LUMPUR— Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor menyamakan gerakan hak asasi manusia di Malaysia dengan fahaman komunis dan keadaan itu akan membawa kepada tindakan mempersoalkan perkara-perkara diterima semua kaum, antaranya kontrak sosial.

“Setiap abad ada gelombangnya dan kita tidak boleh melanggar gelombang ini.

“Sekarang ini gelombang hak asasi manusia. Sebelum ini gelombang Marxisme, Sosialisme,” kata Rahim (gambar) ketika berucap selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Perkasa di sini hari ini.

Sambil melabel gerakan hak asasi manusia sebagai “agama baru”, Rahim memberi amaran bahawa aktivis kebebasan sivil menganggap Amerika Syarikat dan United Kingdom sebagai “laman spiritual” mereka dan melebarkan pengaruh mereka.

“Sekarang kita melihat banyak perkara dipersoalkan disebabkan gelombang hak asasi manusia,” kata bekas pemimpin PDRM ini, yang menjadi tumpuan di sebalik isu mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menambah kumpulan aktivis mula mempersoalkan kontrak sosial.

Rahim, antara pemimpin kanan PDRM yang telah memainkan peranan dalam membawa kepada perjanjian damai 1988 antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) berkata, ramai pemimpin Melayu sayap kiri ketika era pasca-Perang Dunia Kedua terpedaya dengan aliran komunis kerana menjangkakan mereka akan menjaga kepentingan pihaknya tetapi akhirnya sedar mereka telah dipergunakan.

Ketika itu Rahim merupakan pengarah Bahagian Cawangan Khas PDRM.

Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah ahli perniagaan “Datuk T” Datuk Shazryl Eskay Abdullah, yang mengaku mempertontonkan rakaman video seks didakwa melibatkan Anwar akhir Mac lalu.

Tiada ulasan: