KUALA LUMPUR — Gambar empat anggota tentera misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (Amisom) yang bertanggungjawab melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor didedahkan apabila ia dihantar menerusi e-mel kepada Bernama semalam.
Berdasarkan gambar yang dihantar oleh Agensi Keselamatan Somalia itu, mereka yang sebelum ini dilaporkan sebagai tentera Burundi dan bertugas dalam Amisom dilihat berjalan tanpa sebarang kelengkapan senjata namun dikawal oleh beberapa tentera lain ke suatu tempat yang tidak dinyatakan, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Laporan polis Somalia memberitahu, pihak Amisom telah menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian berkenaan dan mendapati keempat-empat tentera yang dituduh itu didapati bersalah kerana melepaskan tembakan berkenaan.
Amisom pada 26 September lalu secara rasminya telah menyempurnakan siasatan penuh terhadap empat tertuduh yang sebelum ini dikatakan menembak dan menyebabkan kematian Allahyarham Noramfaizul dan mencederakan jurukamera TV3, Ajis Saregar Mazlan.
Pasukan keselamatan itu juga telah memohon maaf atas kejadian tersebut serta melucutkan mereka yang terlibat daripada menjalankan tugas pasukan pengaman dan menghantar mereka pulang ke Burundi untuk dibicarakan.
Noramfaizul (gambar), 39, terkorban setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1 Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 3 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan