Selasa, 25 Oktober 2011
Manfaatkah Himpunan Selamatkan Akidah berbanding Undang-undang Murtad?
Memang betul apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah. Islam perlu diperlihat umatnya sebagai agama yang toleransi dan bijak.
Kita perlu berhati-hati dalam tindakan agar tidak menimbulkan polemik perkauman dan agama antara rakyat di negara ini yang berbilang kaum. Tujuan Islam bukan menunjukkan kekuatan fizikal semata-mata tetapi perlu kepada kecantikan cara hidup Islam itu.
Berfikir dengan waras, apakah perhimpunan yang dianjurkan untuk mengumpul seberapa ramai umat Islam boleh menyelamatkan akidah umat Islam berbanding kita perlu bersatu mendesakkan pihak berkuasa untuk menggubalkan undang-undang berkaitan murtad.
Sudah tentu dengan akal yang waras, mencegah lebih bagus daripada mengubatinya. Kita perlu mencegahnya dengan melaksanakan hukum Islam di negara ini, perlu menggubalkan akta Murtad supaya ianya isu murtad dapat diselesaikan dengan hukum Islam.
Tak kan selesai apa-apa jika kita hanya beriya duk kumpul ramai-ramai tunjukkan kekuatan tetapi perlakuan murtad masih lagi berlaku kerana tiada akta yang tegas yang boleh menghalang daripada terjadinya kes murtad.
Bahkan, dengan cara kita menonjolkan kekuatan itu, ianya boleh menimbulkan rasa kurang senang di pihak bukan Islam dan sudah tentu mereka akan menjauhi Islam dan kerja dakwah Islam akan terbantut.
Objketif dakwah Islam bukanlah untuk menakut-nakutkan bukan Islam terhadap Islam, tetapi kita wajib memperlihatkan Islam itu selamat untuk dianuti.
Kita boleh kaji, bagaimana di negara bukan Islam seperti di Eropah, ramai bukan Islam boleh mendekati Islam dan ada yang memeluk Islam walaupun umat Islam di sana adalah golongan minoriti dan Islamofobia yang dipersepsikan dunia barat terhadap Islam dituduh membabi-buta.
Dalam keadaan Islam dianggap barat sebagai agama yang ganas, tiba-tiba ramai bukan Islam memeluk Islam. Cuba kita bandingkan pula di Malaysia, negara yang diperintah oleh orang Islam, majoriti rakyat adalah Islam, didakwa pula negara ini adalah negara Islam tetapi bagaimana umat Islam boleh pula murtad (keluar daripada Islam). Tak ke pelik namanya tu?
Di manakah silapnya? Kita jangan terburu-buru untuk melatah dengan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan politik sempit beberapa pemimpin parti politik pemerintah yang mempunyai kepentingan peribadi yang mahu menangguk air keruh untuk terus kekal berkuasa selepas mengatahui sokongan terhadap mereka semakin pudar dari kalangan umat Islam.
Golongan ini bukan berfikir panjang, tidak kira agama atau perkauman, semuanya diambil kesempatan untuk meraih sokongan murahan dari rakyat dalam pilihanraya umum (PRU) nanti yang semakin hampir.
Penulis WarkahDaily Online amat bersetuju dengan pendirian yang dibuat PAS melalui Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dalam hal ini, iaitu pengukuhan akidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.
Ia adalah bagi menghalang pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan