Oleh: Sidiqin Omar
BRICKFIELDS : Meskipun padat dengan tugasan harian, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau persiapan akhir masyarakat India bagi menyambut perayaan Deepavali di Brickfields, malam tadi.
Ketibaan Anwar dan pimpinan KEADILAN disambut dengan Laungan ‘Hidup Anwar’, ‘Hidup Pakatan Rakyat’, oleh ribuan masyarakat India.
Dengan paluan gendang Maetallam dan letupan mercun, Anwar disambut mesra oleh pemilik gerai yang dikunjunginya, sambil dikalungkan bunga malai dan kain pattu sebagai tanda hormat.
Meskipun bukan acara rasmi, ribuan pengunjung Brickfields mengambil peluang bersalaman dan mengambil gambar sambil mengucapkan – ‘Nal Valthukal’, ucap selamat menyambut pesta cahaya – Deepavali.
Turut mengiringinya ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.
Sementara itu, beberapa pegawai polis beruniform dan berpakaian preman dilihat sepanjang masa mengekori dan merakam video, namun keadaan terkawal.
Dalam pada itu, kehadiran Anwar turut diumumkan di beberapa buah pasaraya. Malah seorang DJ di kedai muzik – Ruddra Veenay, memainkan lagu tema – Nan Anai Detaiyal – dari filem Tamil terkenal lakonan MGR sempena ketibaannya.
Seorang pekerja kedai sari di Sri Kannan Darees., K Rani, 38 berkata, beliau berasa bertuah kerana kedai tempatnya bekerja menjadi lokasi pertama lawatan Anwar dan pimpinan Pakatan Rakyat.
Selepas hampir sejam, Anwar meluangkan masa untuk singgah minum teh dan makan thosai di Seetharam Curry House.
Di sana premis tersebut menjadi sesak dengan kehadiran penyokong dan pengunjung untuk bergambar dan bersalaman.
Program yang serba ringkas, namun cukup meriah itu berakhir dengan laungan slogan ‘Mattram Vendum’ yang bermaksud ‘Perubahan’ secara beramai-ramai bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan