Isnin, 24 Oktober 2011

Laporan Audit: JPA terlebih bayar pencen lebih 2,300 penerima


KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah terlebih bayar pencen membabitkan pesara yang telah meninggal dunia dan masih hidup melibatkan jumlah lebih RM4 juta sepanjang tiga tahun sejak 2007.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan hari ini menyebut berdasarkan Daftar Bayaran Balik Pencen Terlebih dibayar bagi tempoh 2007 hingga September 2010, sejumlah RM2.57 juta bayaran pencen bulanan telah dibayar kepada 1,975 pesara atau penerima pencen yang telah meninggal dunia.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga berkata semakan terhadap Daftar Bayaran Balik Pencen Terlebih bagi tempoh 2007 hingga September 2010 juga menunjukkan sejumlah RM2.09 juta telah terlebih dibayar kepada 339 pesara atau penerima yang masih hidup.

Daripada lebihan bayaran RM2.57 juta, kata laporan tersebut, sejumlah RM850,000 telah dapat dikutip balik daripada 965 waris dan baki RM1.72 juta yang sepatutnya dituntut daripada 1,010 waris mendapati, hanya RM390,000 sedang dikutip daripada206 waris secara bayaran ansuran.

“Manakala sejumlah RM1.33 juta masih belum dapati dikutip balik disebabkan notis tuntutan tidak dapat diserahkan kepada waris sama ada mereka tidak dapat dikesan, telah berpindah ke tempat lain atau telah meninggal dunia. Namun begitu bagi notis tuntutan yang telah dapat diserahkan kepada waris pula masih tiada bayaran balik dibuat,” katanya.

Mengenai RM2.09 juta telah terlebih dibayar kepada 339 pesara atau penerima yang masih hidup, laporan berkata, “berdasarkan maklum balas Bahagian Pasca Perkhidmatan (BP), kes-kes terlebih bayar berpunca daripada kelonggaran kawalan dalaman antaranya tiada amaran sekiranya amaun pencen melebihi gaji akhir, tiada akaun pencen dan tiada had maksimum tempoh perkhidmaan yang boleh diambil kira untuk pengiraan pencen.”

Laporan itu menambah, semakan Audit juga menunjukkan BP telah mengambil tindakan mengutip balik jumlah pencen terlebih dibayar secara ansuran melalui potongan sebahagian pencen bulanan yang diterima oleh pesara atau penerima pencen.

“Bayaran pencen terlebih dibayar tersebut melibatkan pembayaran pencen terbitan kepada yang tidak layak seperti anak melebihi 21 tahun yang tidak melanjutkan pelajaran, jumlah pencen terbitan kepada balu atau duda tidak disusutkan kepada 70 peratus selepas 12 setengah tahun dari tarikh persaraan, khususnya bagi kes sebelum 1 Januari 2009, kesilapan membayar ke dalam dua akaun pencen serentak, kesilapan membuat dua kali pelarasan dan kesilapan perkiraan gaji akhir.

“Selain itu didapati satu kes kesilapan meletakkan titik perpuluhan telah menyebabkan pencen terlebih bayar berjumlah RM133,051 sejak Januari 2006 sehingga Mei 2007.

“Mengikut perkiraan, pencen sebenar yang patut diterima adalah berjumlah RM214.33 sebulan tetapi pesara telah dibayar sejumlah RM21,433 sebulan untuk tempoh selama 16 bulan,” katanya sambil menambah, bagaimanapun pesara berkenaan telah meninggal dunia pada 2007 dan potongan telah dibuat daripada pencen bulanan pesara mulai Julai 2007.

“Selepas pesara meninggal dunia, kutipan masih diteruskan daripada pencen terbitan sehingga Mei 2044,” katanya lagi.

1 ulasan:

faruk berkata...

banyaknya duit sampai boleyh terlebih2 bayar kat orang. kalau mcm ni,kena claim balik yang dah terlebih byar tu ke mcm mane tu?