Media tali barut Umno sentiasa mengintai peluang untuk menjejaskan peluang Pakatan dalam PRU13 dan isu hudud tidak pernah ditinggalkannya.
Pihak yang mencetuskan isu tersebut ialah media propaganda BN, dalam waktu yang sama PAS pula dituduh sengaja mencetuskan isu tersebut menjelang pilihan raya untuk meraih sokongan Melayu.
Pada sebilang masa pun PAS tidak mungkin membatalkan hasrat hendak menegakkan Islam sebagai cara hidup dalam diri hinggalah bernegara kerana itulah tuntutan Islam yang sebenar.
Hukum hudud cuma sejuzuk kecik dari keseluruhan ajaran Islam yang sangat luas tetapi menolak juzuk yang kecil itu boleh membawa kehancuran aqidah atau murtad.
Jadi siapapun pemimpin PAS yang diajukan soalan mengenai hudud tidak mungkin membuat kenyataan menolaknya.
Malangnya tokoh rakan sekutu yang seorang ini, sering terperangkap dengan provokasi media, menyerahkan leher untuk direjut tali gantung yang disediakan Umno. Saya telah menulis berkali-kali mengenai isu yang sama, tetapi kontroversi yang sama juga berulang-ulang.
Saya tetap tidak jemu memberi penjelasan yang sama.
Niat jahat media tali barut BN sangat mudah dihidu berhubung isu hudud. Jika PAS umumkan bahawa hudud hanya akan dibuat dengan persetujuan semua parti komponen Pakatan Rakyat, maka PAS akan dituduh tunduk pada DAP. Tetapi jika PAS umum akan tetap laksanakan hudud, maka provokasi besarbesaran akan dilakukan terhadap masyarakat bukan Islam untuk menolak PAS.
Di sebalik isu hendak buat atau tidak mahu, berselindung satu lagi persoalan besar iaitu boleh buat atau tidak boleh buat. Sangat jelas perbezaan antara ‘hendak buat’ dan ‘boleh buat’ tapi malangnya peguam yang hebat pun tidak faham, lantas mengandaikan hudud boleh dibuat tanpa pindaan Perlembagaan.
Pindaan Perlembagaan ke arah pelaksanaan hudud perlukan sokongan dua pertiga di Parlimen. Khusus untuk mengizinkan pelaksanaan hudud di negeri, Parlimen perlu meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terlebih dahulu.
Tanpa sokongan dua pertiga maka PAS bersendirian ‘tidak mampu’ melakukannya. Kalau PAS menang semua kerusi Parlimen pun, jumlahnya masih tidak mencukupi untuk meminda Perlembagaan. PAS perlukan sokongan KeADILan dan DAP – jika ditakdirkan Pakatan memerintah.
PAS berhasrat mahu laksanakan hudud tetapi DAP tidak mahu, maka PAS dikira ‘tidak mampu’ laksanakannya. Tidak berdosa seorang miskin yang tidak mampu menunaikan haji di Makkah lantaran tiada wang, sedangkan dia memang menyimpan cita-cita dan berusaha untuk menunaikannya.
Bagi pemimpin DAP yang seorang itu, tidak perlulah beriya-iya sangat untuk menyanggah hudud dengan kenyataan yang ‘berlebihlebihan’.
Dia pun tahu pindaan Perlembagaan hanya boleh dibuat dengan sokongan dua pertiga di Parlimen. Cukup dengan berkata, DAP tak sokong hudud, maka mustahil pindaan Perlembagaan boleh dibuat.
Persoalan besar dan terpenting bagi rakyat Malaysia ialah menamatkan kebejatan BN yang memerintah lebih separuh abad.
Jika BN dapat ditumbangkan tanpa perlaksanaan hudud pun maka ia tetap lebih baik daripada membiarkan BN terus memerintah – yang pastinya hudud tidak terlaksana juga. Segala kebejatan itu berakar umbi dalam kerajaan tanpa dapat dibendung lagi.
Sehebat-hebat PAS sekalipun, tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk membetulkan segala kepincangan itu seandainya bersama dalam BN (Wal’iyazubillah, itu cuma andaian). Satu-satu cara untuk ‘membunuh’ semua kebejatan itu ialah dengan menumbangkan BN di Pusat.
Jika waqi’ dan biah yang ada; menuntut kerjasama dengan DAP sebagai prasyarat mencapai cita-cita tersebut maka tentu ia menjadi keutamaan. Tidak betul untuk membiarkan pihak yang zalim terus berkuasa hanya kerana merasakan satu juzuk dari ajaran Islam (hudud) tidak dapat dilaksanakan jika berkongsi kuasa.
Kita tidak boleh menunggu mampu buat semua perkara, baru hendak memulakan semua perkara. Kaedah feqah sangat jelas, ‘tak boleh buat semua jangan tinggal semua’.
Realiti politik di Malaysia ialah, tidak ada manamana parti politik pun (yang berasaskankaum atau agama) boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.
Pola komposisi kaum yang diwujudkan oleh penjajah, menyebabkan mana-mana parti yang didominasi oleh orang Melayu memerlukan sokongan parti kaum minoriti untuk membentuk kerajaan.
Terlalu lama parti pembangkang membazir masa berbicara mengenai perbezaan sewaktu berpakat menumbangkan BN, sehingga BN yang ‘jahat’ itu terus berkuasa.
Sepatutnya tumbangkan dulu BN, baru fikir untuk bertelingkah (jika rasa perlu).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan