Jumaat, 28 Oktober 2011

KITA Sabah tak jejas BN, kata Lajim

Kehadiran parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan serta kekuatan BN, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin.

Katanya berdasarkan pengalaman, mereka yang terkeluar daripada arus perdana politik negara sukar untuk mendapat sokongan kecuali bekas Ketua Menteri Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun yang pernah jatuh tetapi mampu bangkit semula dalam arena politik.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Majlis Perundingan Koperasi peringkat Parlimen Beaufort dan seminar Tranformasi Tadbir UrusKoperasi di Beaufort semalam, Lajim berkata kehadiran KITA tidak akan memberi impak yang besar terhadap lanskap politik negeri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat KITA untuk meletakkan calon di semua 60 kerusi negeri dan 25 kerusi Perlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak pasti apa tujuan mereka untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya akan datang. Ini kerana sudah ada parti-parti dari Semenanjung yang sudah ternama layak dan mendapat sokongan bertanding di negeri ini," kata Lajim.

Beliau berkata rakyat Sabah sudah matang berfikir untuk menentukan parti yang mereka sokong terutama BN yang berjaya menstabilkan politik di negeri itu sekali gus memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.-- Bernama

Tiada ulasan: