“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)
Belanjawan Tahunan Kerajaan adalah instrumen utama dalam urustadbir kewangan negara yang memperincikan perancangan dan unjuran pendapatan serta perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Komponen utama sesebuah belanjawan adalah cukai (tax) dan perbelanjaan kerajaan (government spending) demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan (growth), mengawal inflasi (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment). Setiap instrumen di dalam Belanjawan dirangka mengikut ideologi dan falsafah keutamaan sesebuah kerajaan dengan mengambil kira senario ekonomi dalaman dan luaran semasa.
Walaubagaimanapun, pembentangan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah amat membimbangkan dari aspek struktural dan kitaran, atas faktor tiada keseimbangan di dalam usaha meningkatkan daya mampu ekonomi domestik dan mempersiapkan daya tahan negara menempuhi kesan kelembapan ekonomi luaran.
Pertumbuhan KDNK 2012 diunjurkan sekitar 5% - 6% di samping kadar inflasi yang masih berlegar di kadar 3% - 4% dan paras pengangguran di bawah 3.5%. Bajet 2012 memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut, dengan anggaran defisit 4.7% bagi tahun 2012 berbanding 5.4% bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli.
Malaysia di ambang krisis hutang
Bagi menampung peningkatan perbelanjaan, kerajaan terpaksa meminjam dalam keadaan nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada di paras 53% dan jika mengambil kira kemungkinan situasi kelembapan ekonomi bagi tahun akan datang, sebarang belanjawan tambahan (supplemental budget) akan hanya menatijahkan kadar hutang negara ke paras kritikal 60% seterusnya membawa kepada kancah krisis hutang negara sebagaimana yang dihadapi kuasa ekonomi Eropah sekarang.
Mesra rakyat tetapi dingin pelabur
Dalam senario ketidaktentuan pasaran di Eropah dan Amerika, pelabur-pelabur dari Timur Tengah, dan China mula mengalihkan tumpuan kepada destinasi pelaburan yang mampu menjamin suasana kondusif untuk pelaburan, terutamanya untuk mengambil peluang peningkatan permintaan domestik dan kerancakan pembangunan, khususnya di dalam sektor komoditi dan perkhidmatan.
Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri gagal memberi isyarat mengalu-alukan pelaburan baru dan sedia ada untuk turut serta dalam usaha transformasi ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Bagaimana mengimbangi defisit
Teras utama dalam pengagihan belanjawan adalah mekanisma penyampaian oleh pihak kerajaan. Pastinya semua pihak, baik yang layak mahupun yang oportunis, ternanti-nanti agihan peruntukan besar oleh pihak kerajaan. Asas utama adalah amanah si pemberi dengan mengambil kira prioriti dan merit si penerima.
Pihak kerajaan mampu mengurangkan kadar defisit melalui beberapa transformasi dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan, khususnya melalui penambahbaikan sistem serahan dan kutipan cukai yang efisien serta peningkatan penguatkuasaan eksport-import di sempadan. Dalam aspek perbelanjaan, penjimatan boleh dicapai dalam kos perjalanan, penerbangan dan aktiviti latihan di luar negara serta meningkatkan kadar penggunaan aset kerajaan secara optima.
Rakyat berhak membuat pertimbangan
Dengan pembentangan Bajet 2012 ini, jelas sekali gendang pilihanraya telah dibunyikan dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal ditabur dengan agenda propaganda pihak kerajaan dan pihak pembangkang untuk mendapatkan keyakinan dan mandat rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13.
Justeru, pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri perlu menyatakan iltizam dan komitmen untuk merealisasikan budaya politik matang dengan memberi ruang lebih besar kepada rakyat berpatisipasi di dalam pilihanraya yang adil dan telus, demi menatijahkan lembaran baru di dalam sejarah Malaysia. ------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------ **Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan