Selasa, 25 Oktober 2011

Kerajaan tanggung RM375.60 juta projek Lebuh Raya Senai-Desaru

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan kos pengambilan balik tanah bagi projek Lebuh Raya Senai-Desaru meningkat hampir 103 peratus dengan kerajaan terpaksa menanggung tambahan RM375.60 juta.

Ekoran perkembangan itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mahu kerajaan menentukan pendekatan baru dengan menetapkan ‘capping’ yang akan diperuntukkan kerajaan.

Pada awalnya, syarikat konsesi Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB) menganggarkan kos pengambilan balik tanah hanya berjumlah RM365 juta sedangkan jumlah akhir yang dibayar adalah sebanyak RM740.6 juta iaitu perbezaan sebanyak 102.9 peratus, kata laporan itu.

Lebuh Raya Senai-Desaru yang bermula pada Julai 2004, merupakan sebahagian daripada pembangunan Iskandar Malaysia yang menghubungkan Senai di barat Johor dengan Desaru di timur Johor.

Fasa pertama sepanjang 77 kilometer siap pada Ogos 2009 manakala fasa kedua pula siap pada Jun 2011, lapor The Malaysian Insider.

Laporan Audit berkenaan berpendapat Lembaga Lebuh Raya (LLM) tidak meneliti perancangan pembinaan lebuh raya dan aggaran kos pengambilan balik tanah menyebabkan berlakunya pertambahan kos yang ketara.

“Ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos pengambilan balik tanah yang berjumlah RM740.6 juta iaitu peningkatan sejumlah RM375.6 juta atau 102.9 peratus.

“Sehubungan itu, syarikat konsesi tidak membuat anggaran kos pengambilan balik tanah projek lebuh raya ini dengan tepat dan realistik,” katanya.

Kata Amrin, walaupun perancangan awal telah dibuat dengan teliti, namun faktor pertukaran status tanah dan pemberian oleh pihak berkuasa negeri telah menyumbang kepada kenaikan kos pengambilan tanah.

“Ini kerana kerajaann terpaksa membayar pampasan yang tinggi ke atas bangunan yang telah dibina,” katanya lagi.

Tiada ulasan: