Rabu, 5 Oktober 2011

Isu Tung Shin: KDN, Menteri Kesihatan perlu minta maaf- Jui Meng

Oleh: Nabihah Hamid



JOHOR: Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan perlu memohon maaf berhubung isu polis melanggar garis panduan operasi polis (SOP), ketika menyuraikan peserta himpunan Bersih 2.0 di Hospital Tung Shin, 9 Julai lalu.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein sebelum ini menafikan keganasan polis terhadap peserta Bersih, malah pernah memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap dakwaan yang dikatakan tidak berasas itu.

Manakala Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menafikan dakwaan bahawa gas pemedih mata, bom asap dan meriam air telah dilepaskan ke kawasan hospital tersebut.

“Sebelum ini mereka menafikan keganasan polis. Menteri kesihatan sendiri buat penafian dan memberi kenyataan yang membodek Menteri Dalam Negeri. Mereka perlu bersama-sama minta maaf di atas fakta-fakta yang diutarakan,” kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Chua Jui Meng.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata, anggota polis yang melanggar dan mengengkari peraturan yang ditetapkan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib polis.

Sehubungan itu, Chua Jui Meng menggesa agar nama-nama polis yang bertanggungjawab diumumkan kerana rakyat berhak mengetahui tentangnya.

“Nama polis yang melanggar etika perlu disebutkan dan disenaraikan namun kita tunggu dan lihat samada pihak atasan betul-betul akan mengambil tindakan tatatertib atau mereka akan melindungi pegawai yang sebenarnya mengikut arahan pihak atasan,” kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor.

Pada 9 Julai lalu, kakitangan Hospital Tung SHin mendakwa polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu bagi menyuraikan peserta perarakan Bersih.

Ramai saksi mengesahkan kejadian tersebut termasuk 11 pegawai kanan perubatan yang telah menandatangani surat mengutuk pihak berkuasa.

Namun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan pemangku ketua polis Kuala Lumpur Amar Singh, menafikan dakwaan itu meskipun banyak gambar dan video bukti yang berlegar di internet berhubung tembakan tersebut.

Gambar-gambar tersebar meluas di Internet memaksa kerajaan untuk mengumumkan pembentukan “Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi Kementerian Kesihatan”.

Tiada ulasan: