Khamis, 13 Oktober 2011

DHPP Kelantan jelajah Malaysia jelaskan hudud

Rizal Tahir


KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (ll) kepada masyarakat bukan Islam.

Penasihat DHPP Kelantan, Jeffry Lee Weng Chun berkata, program penerangan itu dijangka turut disertai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, program penerangan dianggap perlu memandangkan hukum hudud sengaja dimanipulasikan pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

“Program penerangan itu akan bermula November ini. Tenaga penceramahnya beberapa orang peguam bukan Islam yang akan bercakap berkaitan perundangan Islam.

“Kami merasa terpanggil mengambil tanggungjawab ini bagi memberi penerangan lebih jelas kepada bukan Islam terutamanya mereka yang sudah berusia,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menurutnya media bukan medan sesuai memberikan penjelasan berkaitan hudud memandangkan ruangan agak terbatas, lagi pun media arus perdana lebih gemar menyiar aspek negetif.

Jeffri yang juga seorang usahawan berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan sudah diberi penerangan sejak 21 tahun lalu mengenai perundangan Islam, sebelum enakmen hudud diluluskan.

Kata beliau, rata-rata masyarakat bukan Islam terutamanya golongan muda faham kerana penerangan mengenai hudud diadakan sepanjang masa.

”Bagi mereka yang tinggal di luar Kelantan mungkin ada sedikit masalah memandangkan tidak banyak penerangan mengenai hudud dibuat. Lagi pun kekeliruan sengaja ditimbulkan media massa,” ujarnya.

Tiada ulasan: