BINTULU: 18 mangsa tangkapan Bersih 2.0 di Bintulu pada 9 Julai lalu yang diarah hadir ke mahkamah hari ini kecewa apabila mendapati mahkamah hari ini tutup ekoran cuti hujung minggu.
Biarpun merasa hairan dengan tarikh yang diberikan, kesemua mereka hadir dan berkumpul di hadapan pintu pagar Kompleks Mahkamah Bintulu kira-kira jam 8.30 pagi ini kerana dimaklumkan akan didakwa pada jam 8.45 pagi.
Antara yang turut hadir adalah dikalangan AJK PAS Kawasan, Adun Kidurong Chiew Chiu Sing dan Adun Krian Ali Biju.
Difahamkan kesemua mereka kemudiannya bersurai selepas sejam menunggu.
"Kita sebagai rakyat Malaysia telah menunaikan tanggungjawab kita dengan hadir ke mahkamah, diatas mendokong perlembagaan, perundangan dan Raja.
"Kita menganggap perkara ini selesai kerana pendakwa yang tidak hadir," kata salah seorang wakil mereka.
Pada 9 Julai lalu, kesemua mereka ditangkap oleh pihak polis ketika sedang minum di sebuah kedai kopi di kawasan komersil Parkcity di sini pada pukul 2.15 petang.
Daripada 18 orang itu, dua daripada mereka memakai baju kuning bertulis 'Bersih 2.0' sewaktu ditangkap.
Penangkapan mereka serentak dengan himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada hari sama.
Menurut pihak polis, kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.
Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan diarah hadir ke mahkamah untuk pendakwaan hari ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan