Jumaat, 28 Oktober 2011

AJK Umno Gua Musang pilih calon PRU

FREE MALAYSIA TODAY

Ini termasuklah dalam menentukan kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penyandang kerusi Parlimen Gua Musang.



GUA MUSANG: Tengku Razaleigh Hamzah berkata pemilihan senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kerusi Parlimen dan negeri di kawasan Gua Musang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dibuat oleh anggota jawatankuasa Umno bahagian itu tanpa campur tangan beliau.

Katanya ini termasuklah dalam menentukan kedudukan beliau sendiri sebagai penyandang kerusi Parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian itu berkata jawatankuasa itu diberi kuasa penuh untuk memilih menerusi undian bagi menentukan calon BN yang boleh menang majoriti besar.

“Dalam mesyuarat bulanan Umno bahagian itu sebulan lalu, kita sudah adakan undian senarai nama mereka yang dipilih rakyat untuk bertanding sebagai calon BN kerusi Parlimen Gua Musang dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Paloh dan Nenggiri.

“Keputusan undian itu sudah saya hantar kepada pucuk pimpinan parti di Ibu Pejabat Umno Kuala Kuala Lumpur dan tunggulah keputusan dibuat nanti,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Dengan Ketua Peti Undi Paloh, di Dataran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu, dekat sini, hari ini.

Tidak mahu dituduh

Tengku Razaleigh berkata kaedah pemilihan calon menerusi undian di peringkat AJK bahagian itu sebagai saluran terbaru bagi membuktikan ketelusan memilih mereka yang layak dan diterima rakyat.

Katanya beliau tidak mahu dituduh orang yang berkuasa menentukan calon bagi kerusi terbabit pada PRU ke-13 nanti kerana matlamat Umno bahagian dan pucuk pimpinan parti ialah supaya kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN menang besar.

“Kita juga menyerahkan kuasa kepada ketua peti undi bersama ahli jawatankuasanya mengatur segala agenda bagi melancarkan perjalanan PRU nanti dan kita diperingkat bahagian hanya memantau perjalanannya,” katanya.

Beliau berkata langkah berbuat demikian bagi memberi semangat baru kepada pemimpin Umno di peringkat akar umbi yang paling hampir dengan pengundi menjalankan tugas serta amanah kemenangan.

“Kita bahagian pertama menjalankan kaedah itu sebagaimana yang kita laksanakan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas November tahun lalu hingga mencapai kemenangan,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, Adun Galas, Aziz Yusoff, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang, Muhammad Zahari Othman dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian, Zamzani Harun.

Tiada ulasan: