Khamis, 19 Mei 2011

Video seks: PDRM tak faham mengapa asyik desak dedah pelaku

THE MALAYSIAN INSIDER

PEKAN — Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa mirip ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis berpegang kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta tidak akan terpengaruh dengan mana-mana pihak.

Dipetik Bernama Online, Khalid (gambar) berkata, tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi polis mendedahkan perkara itu.

“Banyak kali saya dah beritahu mengenai perkara ini,” katanya.

“Saya pun tak faham kenapa orang ini tak faham-faham bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan kita membuat pendedahan.

“Jadi kalau undang-undang tak benarkan, tak bolehlah,” katanya ketika diminta mengulas desakan sesetengah pihak supaya polis segera mendedahkan identiti pelaku itu.

Semalam, beliau menegaskan tiada keperluan dari segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan pemimpin sebuah parti pembangkang.

Kata Khalid, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

“Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jikalau kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik.”

“Kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita, kita mengikut peruntukan undang-undang,” katanya mengulas kenyataan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa kredibiliti polis akan terjejas jika ia masih teragak-agak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu.

Desakan seumpama itu terus dibuat menggesa polis mendedahkan identiti si pelaku.

Tiada ulasan: